Harian Metro

FENOMENA TAK TUN TUANG

 Lagu nyanyian Upiak Isil bukan saja tular di Indonesia, tetapi di Malaysia, Thailand

- Garret Dawum garret@hmetro.com.my

Jika dahulu, Gangnam Style atau juga dikenali sebagai tarian kuda, Gwiyomi dan Despacito menjadi ikutan anak muda, kini muncul pula lagu Tak Tun Tuang yang turut mencipta fenomena baru dalam industri hiburan tempatan.

Ternyata, kehadiran lagu itu yang dinyanyika­n oleh penyanyi Minang daripada Indonesia iaitu Upiak Isil berjaya meresapi jiwa sesiapa saja.

Lagu itu menjadi tular bukan saja di Indonesia, tetapi di Malaysia dan Thailand sehingga penyanyi asalnya meraih populariti mendadak dan dikenali ramai.

Pelbagai aksi lucu dan menarik memaparkan kegilaan ramai terhadap lagu itu direkod dalam bentuk video termasuk video parodi individu meniru gaya mengikut irama lagu itu dimuatnaik di laman sosial seperti YouTube, Facebook dan Instagram.

Malah, lagu itu turut dinyanyika­n selebriti tempatan seperti Siti Nordiana, Wany Hasrita, Bell dan Jihan.

Paling popular dalam YouTube versi penyanyi Andi Bernadee mendapat 1.6 juta tontonan berbanding video asal lagu itu hanya ditonton 794,000 kali.

Agak mengejutka­n, apabila hasil carian di laman sosial berkenaan Tak Tun Tuang memberikan lebih 14,000 posting. Itulah kuasa media sosial sekarang.

Berkongsi dengan Metro Ahad mengenai perkara itu, Upiak, 31, yang dihubungi berkata, dia hanya mampu mengucapka­n terima kasih kepada sokongan peminat lagu itu terutama terhadap melodi dan lirik yang dibuatnya sendiri.

“Baguslah ada lagu saya sudah lekat di dalam hati pendengar. Sepanjang 12 album yang saya hasilkan, tiada lagu saya yang diketahui di luar Indonesia.

“Saya bersyukur kerana ia menjadi perhatian ramai orang. Semua ini bukan dirancang, tetapi kebetulan kerana ada yang memuji melodi lagu itu yang sangat rancak serta ringkas,” katanya.

Tambahnya, kerana lagu itu juga, dia kini mempunyai satu syarikat rakaman yang menguruska­n aktivitiny­a sebagai penyanyi.

“Saya sudah bernaung di bawah syarikat MVM Production Sdn Bhd berbanding dulu yang bergerak sendiri.

“Sebenarnya, saya bertuah kerana ada yang sanggup menawarkan perkhidmat­an untuk menjadikan saya sebagai artis naungan.

“Ini juga menjadi sesuatu yang bagus buat diri saya terutama dalam perkembang­an karier,” katanya sambil mendoakan yang terbaik dalam kerjaya.

Bercerita berkenaan lagu itu, katanya, lagu itu tidak mempunyai maksud tersirat yang lain.

“Ia mengisahka­n diri saya yang kebiasaann­ya malas mandi. Kita tidak perlu peduli atau ambil tahu dengan apa orang nak cakap jika kita tidak mandi. Jangan jadikan semua itu sebagai masalah.

“Apa yang penting, percaya pada diri sendiri. Dalam lagu ini, saya cuba membuatnya nampak menarik dengan cara penyampaia­n bersahaja diikuti melodi yang mampu menarik minat ramai.

“Malah, perkataan Tak Tun Tuang tidak membawa maksud apa-apa, tetapi cuma diletak sebagai penyedap lirik lagu,” katanya.

“Baguslah ada lagu saya sudah lekat di dalam hati pendengar. Sepanjang 12 album yang saya hasilkan, tiada lagu saya

yang diketahui di luar Indonesia

Upiak Isil

 ??  ??
 ??  ?? UPIAK ISIL
UPIAK ISIL

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia