Lelaki dakwa isteri dilarikan polis
Ipoh: Seorang lelaki mendakwa isterinya diganggu sebelum dilarikan seorang anggota polis sejak Oktober lalu dan hingga kini gagal dikesan.
Lelaki yang ingin dikenali sebagai Azam, 34, berkata isterinya dengan nama panggilan Lily, 31, sudah tidak pulang ke rumah sejak 20 Oktober lalu.
Menurutnya, isterinya keluar dari kedai mereka di Kampung Dew, Simpang Empat, Semanggol dekat sini bersama anak perempuannya berusia lapan tahun.
“Dua hari kemudian isteri meninggalkan anak di rumah kakaknya di Hutan Melintang, Bagan Datuk dan hingga kini dia gagal dikesan.
“Saya khuatir keselamatannya dan lebih penting anak tunggal kami merinduinya,” katanya, di sini semalam.
Azam berkata, dia membuat laporan terhadap anggota polis berpangkat Sarjan Mejar berkenaan pada Ogos lalu kerana sering mengganggu isterinya melalui telefon.
“Hingga kini sudah 12 laporan saya buat mengenai polis berkenaan, namun buntu kerana isteri masih tidak dapat dikesan dan memaksa saya menularkan kes ini di media sosial.
“Saya sayangkan rumah tangga dan ingin menyelamatkannya seboleh mungkin dan jika benar kami tiada lagi jodoh, saya mahu menyelesaikannya secara baik di pejabat agama,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan isterinya juga ada membuat laporan polis mendakwa dia sering memukulnya ketika berselisih faham dan dia menafikan perkara itu.