‘HONG KONG SAYA PUNYA!’
Chong Wei raih gelaran Siri Super kedua tahun ini
Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kembali mendapat keyakinan selepas merangkul gelaran Siri Super kedua tahun ini dengan mengungguli Terbuka Hong Kong, semalam.
Pemain berusia 35 tahun itu yang dihimpit kemerosotan prestasi sejak Kejohanan Dunia Ogos lalu mempamerkan aksi terbaik di Hong Kong Coliseum, Kowloon untuk mencalar reputasi juara Olimpik dari China, Chen Long 21-14, 21-19.
Ini kejuaraan kedua Chong Wei musim ini selepas Seluruh England pada Mac lalu.
“Saya cuma mahu menikmati permainan hari ini menentang Chen Long kerana saya berjaya meraih kemenangan mudah pada set pertama.
“Saya tahu Chen Long akan bangkit pada set kedua dan apabila dia mendahului 15-10, saya sudah bersedia untuk bermain pada perlawanan penentuan.
“Ia kemenangan yang manis untuk saya di Hong Kong, penyokong di sini hebat dan saya sentiasa merasakan seperti bermain di negara sendiri,” kata Chong Wei yang kini sudah merangkul 46 gelaran Siri Super sepanjang kariernya.
Kejayaan Terbuka Hong Kong yang kelima ini tepat pada masanya buat pemenang tiga kali pingat perak Olimpik itu yang menjadi sandaran kepada skuad kebangsaan ke Sukan Komanwel, Piala Thomas dan Sukan Asia tahun depan.
Chong Wei turut memberi bayangan akan terus bermain untuk dua tahun lagi.
Sasarannya selepas ini adalah final Siri Super Dunia di Dubai pada 13-17 Disember.
“Saya ingin mengumumkan kepada peminat di sini bahawa saya akan kembali lagi tahun depan. Ini adalah gelaran kedua saya musim ini, saya berharap dapat mengekalkan prestasi ini apabila bertanding di Dubai bulan depan.
Kejayaan hari ini membolehkan Chong Wei membawa pulang wang tunai AS$30,000 (RM123,000) manakala Chen Long, AS$15,200 RM63,000)