PAU ke-71 fokus mentaliti menang PRU-14
Cyberjaya: Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, pada 5 hingga 9 Disember ini akan memfokuskan kepada mentaliti memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, semangat kemenangan akan ditanam dalam setiap perwakilan dan 3.6 juta ahli parti dalam perhimpunan terakhir sebelum PRU-14.
“Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul PAU 2017 akan bertemu semua pembahas negeri supaya memberi tumpuan kepada mentaliti memenangi PRU-14.
“Saya yakin ucapan Presiden (Datuk Seri Najib Razak) ke arah itu juga (memenangi PRU-14) dan pembahas perlu bijak serta matang membahasnya,” katanya dalam Sidang Media Khas PAU 2017 di Dewan Merdeka, PWTC, semalam.
Katanya, seramai 5,739 perwakilan UMNO dijangka menghadiri perhimpunan lima hari itu yang turut disertai 63 perwakilan daripada 17 parti politik luar negara serta 51 perwakilan Kelab UMNO Luar Negara.
Katanya, perhimpunan akan bermula pada 5 Disember ini dengan Taklimat Presiden secara tertutup di Dewan Merdeka.
Katanya, ia diikuti Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sebelah malam.
“Pada pagi 7 Disember diadakan acara menaikkan bendera parti, Sang Saka Bangsa di Plaza Merdeka, PWTC sebagai simbolik bermulanya perhimpunan,” katanya.
Tengku Adnan berkata, PAU kali ini turut memperkenalkan beberapa pembaharuan antaranya penggunaan kad pengenalan identiti frekuensi radio (RFID) bagi melancarkan akses keluar masuk perwakilan ke lokasi perhimpunan.