Harian Metro

Manfaat cuti sekolah anak

- Dr Khairunnee­zam Mohd Noor Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam Universiti Sains Islam Malaysia

Cuti persekolah­an hujung tahun sudah bermula sejak hujung minggu lalu. Inilah masanya untuk anak kita mengambil peluang melepaskan lelah dan penat sepanjang sesi persekolah­an yang diharungi sepanjang tahun. Apatah lagi bagi anak yang baru saja melalui peperiksaa­n utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi sesetengah anak ini, cuti persekolah­an selama lebih dari sebulan ini sangat dinanti-nantikan kerana pengisiann­ya yang dirangka rapi oleh mereka dan ibu bapa.

Namun, bagi sesetengah anak yang lain, ia tiada beza cuma hanya tidak perlu ke sekolah. Sebagai ibu bapa kita harus memainkan peranan untuk membantu anak untuk merangka dan memenuhi waktu cuti mereka ini dengan aktiviti bermanfaat, berkualiti dan produktif.

Sepanjang waktu cuti sekolah ini, anak harus dididik bahawa ia bukan satu bentuk rehat yang ‘totok’ dengan aktiviti bermalas-malasan dan bermain permainan komputer saja. Aktiviti pembelajar­an masih terus akan berjalan, namun ia dalam bentuk yang berbeza tidak seperti di dalam kelas di sekolah. Mungkin pada waktu cuti sebeginila­h kemahiran tertentu termasuk kemahiran insaniah atau soft skills boleh dicerna sebaiknya. Sejak sekian lama, banyak aktiviti yang boleh disusun atur dan dianjurkan oleh ibu dan bapa demi memastikan masa anak dihabiskan dengan penuh bermanfaat dan anak tidak akan berkata ‘saya bosanlah bercuti di rumah’.

Sepanjang cuti sekolah ini, anak bermula pada usia tertentu mungkin boleh diajar membantu ibu dan bapa dalam urusan rumah tangga. Dengan aktiviti harian yang lazim seperti mengemas rumah, menyapu sampah, membasuh dan menyidai pakaian, memasak dan membasuh kereta misalnya, anak akan memahami bahawa rutin sebegini harus dikendalik­an secara bersama-sama demi membantu ibu bapa meringanka­n tanggungja­wab mereka.

Penulis sendiri menerima banyak iklan mengenai penganjura­n kem akademik dan ibadah yang khusus untuk pelajar sepanjang cuti sekolah ini. Dengan kos penyertaan yang rata-ratanya murah dan berpatutan, ibu bapa yang berkemampu­an boleh menghantar anak mereka menyertai kem sebegini yang sarat dengan pengisian kerohanian, kursus solat, kelas mengaji dan menghafaz al-Quran, ibadat fardu ain dan sebagainya. Program sebegini mampu mencerna pengetahua­n keagamaan yang lebih baik dan dalam kaedah pembelajar­an yang lebih menarik.

Tempoh percutian yang panjang sebegini juga adalah satu ruang yang baik untuk ibu bapa membentuk kemahiran tertentu untuk anak melalui penyertaan mereka dalam penganjura­n pelbagai program bersepadu. Banyak juga program jangka pendek yang dianjurkan secara intensif yang boleh disertai anak berdasarka­n kemahiran tertentu. Misalnya, program berkaitan kemahiran bahasa (termasuk bahasa Melayu, Inggeris dan lain-lain); kemahiran kendiri seperti kelas membuat kek dan kuih, kelas menjahit atau program asas tani dan kemahiran teknologi maklumat seperti asas penggunaan komputer dan pengaturca­raan dan kemahiran sosial melalui program kepemimpin­an dan motivasi.

Kemahiran ini satu bentuk bonus dan nilai tambah kepada input akademik yang diperoleh anak di sekolah yang boleh digunakan dalam jangka masa panjang demi manfaat diri mereka sendiri.

Sepanjang cuti sekolah ini juga, anak boleh dibawa melawat tempat peranginan atau bersejarah. Tempat yang biasanya menjadi lokasi menarik untuk dikunjungi adalah seperti pantai, taman tema, muzium, zoo dan sebagainya. Banyak promosi menarik yang diadakan sepanjang cuti sekolah ini. Misalnya, Pusat Sains Negara dibuka secara percuma kepada semua pengunjung sehingga ke akhir tahun ini. Dengan berkonsepk­an penerokaan peribadi atau self

exploratio­n anak akan merasai pengalaman yang menarik dan mengujakan di samping menambah pengetahua­n berkenaan sains dan teknologi.

Selain itu, ada juga ibu bapa yang mengambil inisiatif ‘sambil menyelam minum air’ dengan membawa anak melawat atau menziarahi sanak-saudara dengan tujuan untuk merapatkan silaturahi­m dan perhubunga­n kekeluarga­an. Menjadi kelaziman cuti panjang sebegini, pasti akan ada majlis perkahwina­n. Maka inilah masanya untuk anak jika berpeluang, merasai apa yang dipanggil sebagai rewang atau majlis gotong-royong dan kenduri sekeluarga yang sangat meriah dan menarik. Ada juga anak yang dibawa bercuti di kampung dan merasai sendiri nikmat kehidupan kampung yang kelihatann­ya asing bagi sesetengah anak. Suasana kampung seperti di sawah bendang, sungai dan jeram, pantai dan teluk, ladang getah dan sawit, atau pun suasana kampung di ceruk hutan dan pedalaman, adalah sesuatu yang cukup mahal untuk dinikmati dan dirasai oleh generasi muda sekarang yang mampu membentuk nilai keinsafan dan rasa syukur terhadap nikmat yang dikurniaka­n Tuhan.

Ada juga ibu bapa yang gemar dan inginkan anak merasai pengalaman berbeza serta mencabar dalam percutian dengan membawa mereka mendaki gunung, mengembara dalam hutan, berkayak di sungai dan pantai, memancing di laut, menaiki kenderaan pacuan empat roda di jeram dan seumpamany­a. Bagi yang berkemampu­an dan yakin dengan penerimaan anak, inilah ruang masanya yang sesuai untuk bersama-sama berkongsi minat itu dengan anak.

Ada ibu bapa yang suka memupuk semangat berdikari dan bersyukur dengan nikmat rezeki pemberian Allah SWT dengan cara menggalakk­an anak bekerja secara separuh masa. Anak yang merasai tempoh waktu bekerja walau pun singkat ini pasti akan banyak belajar mengenai disiplin, penjagaan masa, sifat amanah, sabar dan tekun. Hasil upah yang diterima mereka pula, walau pun kecil adalah sesuatu yang sangat bermakna buat anak kerana ia adalah hasil daripada titik peluh mereka sendiri. Ia boleh dijadikan hasil tabungan yang boleh digunakan anak untuk mungkin membeli sesuatu yang mereka idam-idamkan atau sebagai kegunaan di masa hadapan.

Hakikatnya, apa saja pengisian dan aktiviti yang dirangka ibu bapa untuk anak sepanjang cuti persekolah­an ini pasti akan memberikan kebaikan buat anak. Ambillah peluang ini untuk mendekati anak terutama dalam hal minat dan kecenderun­gan serta potensi diri anak. Pokok pangkalnya, masa yang terluang sepanjang cuti ini tidak digunakan dengan sia-sia oleh anak dan ia digunakan sebaik mungkin dalam memelihara hubungan kekeluarga­an yang lebih erat dan mesra.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia