‘Tidur kaku’ dalam van
Miri: Tanda tanya mengenai sebuah van yang terbiar parkir di tepi jalan dekat Jalan Miri-Bypass, di sini, selama lebih dua jam terjawab apabila pemandunya ditemui mati, petang kelmarin.
Pemandu van yang juga lelaki berusia 54 tahun itu ditemui mati dalam kenderaan berkenaan oleh sekumpulan pekerja kontrak membuat jalan di lokasi kejadian, kira-kira jam 2 petang.
Sumber berkata, sebaik laporan dibuat, polis kemudiannya ke lokasi dan menemui lelaki terbabit tidak sedarkan diri dalam keadaan tersandar di kerusi pemandu.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu sudah meninggal dunia dipercayai akibat masalah kesihatan.
“Sebelum itu, sekumpulan pekerja kontrak melihat van berkenaan diparkir di kawasan berkenaan lebih dua jam hingga menimbulkan tanda tanya.
“Mereka (pekerja kontrak) menyangka lelaki terbabit tertidur, bagaimanapun mereka curiga apabila mendapati lelaki terbabit langsung tidak bergerak sebelum menghubungi polis memaklumkan kejadian itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng
Seah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, mayat lelaki terbabit dibawa Hospital Miri untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Difahamkan, lelaki terbabit mempunyai masalah kesihatan termasuk penyakit kronik, bagaimanapun punca sebenar kematian masih belum diperoleh,” katanya.
Katanya, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.