Harian Metro

RELA DUDUK PUNCAK BUKIT

- Muhamaad Razis Ismail, Ramli Ibrahim, Ismail Muhamad, Mohamad Zulhairie Manzaidi dan Syaherah Mustafa am@hmetro.com.my

Sebelas keluarga membabitka­n 55 mangsa di Kampung Limau Kasturi di sini, lebih selesa berpindah ke puncak bukit berhampira­n demi menjaga harta benda daripada sasaran pencuri.

Mereka yang terperangk­ap dalam banjir sejak malam kelmarin enggan berpindah ke Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 2 yang dibuka sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung Persekutua­n (JKKKP) Kampung Limau Kasturi Mohd Sokani Mat berkata, rata-rata penduduk terbabit ada rakit dan rumah buluh sebagai tempat simpanan barang.

“Memang rakit ini dibina penduduk untuk harta benda sekiranya berlaku banjir. Sebanyak 15 rakit dan rumah buluh ada di sini.

“Disebabkan itu, mereka pilih pindah di puncak bukit daripada ke PPS yang lebih jauh kerana mahu menjaga harta benda daripada dicuri. Di bukit itu juga ada dipacak khemah.

“Bagi yang membina rumah buluh, mereka berlindung di dalamnya kerana terapung serta tidak terjejas banjir,” katanya, semalam.

Penduduk, Rogayah Ismail, 61, berkata, dia belum berpindah kerana hanya dapur rumah dinaiki air.

Katanya, barang juga belum dikemas dan dia akan membawa keluargany­a berpindah sekiranya paras air naik.

“Sehingga jam 2 petang ini (semalam), air nampaknya bertahan dan rumah kami terkepung memandangk­an jalan keluar masuk pun tenggelam disebabkan limpahan air Sungai Galas. Saya akan pindah sekiranya sampai tahap bahaya,” katanya.

Tinjauan ke kampung berkenaan mendapati rumah penduduk berhampira­n sungai tenggelam hingga paras bumbung manakala yang lain dinaiki air lebih semeter.

Kampung itu dinaiki air susulan hujan berterusan sejak kelmarin dan air Sungai Galas naik sehingga melepasi paras bahaya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh Datuk Nozula Mat Diah ketika ditemui melawat kampung terbabit menasihati penduduk supaya berpindah ke PPS untuk keselesaan serta memudahkan menyalurka­n bantuan.

“Kalau mereka pindah atas bukit sudah tentu menyukarka­n kita menghulurk­an bantuan kerana tidak ada dalam senarai perpindaha­n,” katanya.

Sehingga jam 2 petang, Gua Musang membuka satu PPS di SK Limau Kasturi 2 yang menempatka­n 47 mangsa daripada 11 keluarga. Seorang ibu muda yang baru lima hari melahirkan bayi sulung menangis ketakutan apabila berperahu sejauh 500 meter untuk meredah banjir di Kampung Banggol Ubi Keling, di sini.

Ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Gual Periok, di sini, Che Suriani Che Azhar, 18, berkata, dia takut apabila perlu berperahu meredah arus deras sambil memangku bayi lelakinya.

“Saya berpantang di rumah keluarga mentua dan pada jam 10 malam, Selasa lalu, air naik sehingga 1.5 meter di rumah kami menyebabka­n perlu berpindah.

“Bapa mentua (Ismail Mohamad, 44) nasihatkan saya dan anak dibawa ke PPS terlebih dulu kerana bimbangkan keselamata­n kami.

“Ketika itu macam-macam yang saya fikir, apatah lagi anak baru lima hari dan saya masih sakit akibat bersalin. Secara tak sedar, saya menangis ketika itu,” katanya.

Dia bersyukur apabila tiba dengan selamat di tepi jalan dan dihantar jirannya yang memiliki kenderaan pacuan empat roda untuk ke PPS itu.

Penduduk enggan pindah ke PPS bina rumah rakit simpan harta benda elak dicuri

 ??  ?? PENDUDUK yang belum berpindah mahu menjaga harta benda yang disimpan atas rakit buluh.
PENDUDUK yang belum berpindah mahu menjaga harta benda yang disimpan atas rakit buluh.
 ??  ?? CHE Suriani memangku bayinya berusia lima hari di PPS SK Gual Periok.
CHE Suriani memangku bayinya berusia lima hari di PPS SK Gual Periok.
 ??  ?? KEADAAN banjir di Kampung Limau Kasturi yang terletak di pinggir Sungai Galas.
KEADAAN banjir di Kampung Limau Kasturi yang terletak di pinggir Sungai Galas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia