Harian Metro

Enam lelaki Malaysia ditahan seludup dadah

-

Hong Kong: Enam rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan pelancong ditahan kastam di Lapangan Terbang Antarabang­sa Hong Kong, kelmarin, kerana cuba membawa masuk ketamin bernilai hampir HK$4 juta (RM2 juta).

Media tempatan melaporkan, enam lelaki berusia antara 18 hingga 28 tahun itu ditahan untuk pemeriksaa­n di kaunter kastam sebaik tiba di Hong Kong dari Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Sumber berkata: “Lebih lapan kilogram dadah disyaki ketamin ditemui dilekatkan pada badan empat daripada mereka. Keseluruha­nnya nilai jalanannya dianggarka­n HK$3.9 juta.

“Siasatan awal menunjukka­n dadah itu untuk dijual dan digunakan di sini.”

Menurutnya,

pengedar dadah mungkin menggunaka­n kumpulan pelancong untuk membawa barangan terlarang kerana menganggap mereka tidak begitu diperhatik­an pihak berkuasa apabila masuk ke Hong Kong.

Sumber lain pula berkata, ketamin lazimnya dibawa masuk ke Hong Kong dari Tanah Besar China, seterusnya menganggap taktik digunakan dalam kes ini sebagai ganjil.

“Kami percaya tindakan tegas terhadap aktiviti dadah di Tanah Besar memaksa mereka mencari laluan dan kaedah baru menyeludup bahan itu ke Hong Kong.

“Kami kini sedang menyiasat sama ada dadah itu diseludup ke Malaysia sebelum dibawa ke sini, selain bagaimana enam suspek itu direkrut,” katanya. - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia