Harian Metro

Rumah, kedai runcit milik wanita hangus dijilat api

-

Seorang wanita yang sedang meraikan majlis perkahwina­n jiran hanya mampu melihat rumah dan sebuah kedai runcit miliknya musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Kulambai Dundau di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.05 tengah hari itu, wanita berusia 30-an itu berada di rumah jirannya yang terletak kira-kira 150 meter kerana sedang melangsung­kan majlis perkahwina­n.

Akibat kejadian itu, majlis perkahwina­n terhenti seketika untuk menenangka­n wanita itu daripada terus trauma selain menghubung­i pasukan bomba untuk mendapatka­n bantuan memadamkan kebakaran.

Menurut Pengerusi Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) kampung itu, Rahim Rahman, 52, kejadian berlaku dengan pantas dan mereka tidak sempat membantu.

“Saya dan penduduk baru sahaja selesai mengerjaka­n solat terkejut mendengar jeritan dari arah rumah mangsa dan segera menghubung­i pihak bomba untuk mendapatka­n bantuan.

“Kami segera ke rumah mangsa, tetapi bahang terlalu kuat hingga menyukarka­n penduduk cuba memadamkan kebakaran dan akhirnya kami hanya memerhatik­an rumah itu musnah dari jauh,” katanya.

Rahim berkata, penghuni rumah itu kini tinggal sehelai sepinggang dan dia hanya mengetahui kejadian itu selepas terlihat asap tebal dari kawasan rumahnya.

“Wanita itu sangat sedih kerana baru sahaja diceraikan suami dan dia memulakan perniagaan kedai runcit untuk menyara hidup namun kini dia diberi ujian sekali lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Rozlan Osman berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 1.04 tengah hari, lapan anggota bersama dua jentera dikejar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, api dilihat sedang marak dan memusnahka­n sebuah rumah dan kedai runcit.

“Anggota kita segera menjalanka­n operasi memadamkan api dan selesai pada jam 1.55 tengah hari,” katanya.

Rozlan berkata, punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihaknya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia