Harian Metro

Didakwa tekan suis hingga 2 rakan mati

-

Gua Musang: Seorang pekerja lombong bijih besi warga Pakistan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan dengan cuai menyebabka­n kematian dua rakan sekerjanya di dalam mesin pemecah batu, bulan lalu.

Bagaimanap­un, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Khan Amjad Ali, 21, selepas dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Majistret Mohd Rosly Mohamed Nawi menetapkan 10 Januari depan untuk mendapatka­n jurubahasa Urdu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabka­n kematian Saleem Shah, 29, dan Mohammad Younus Ali, 38, dengan cuai menekan suis ketika mangsa masih lagi berada di dalam mesin pemecah batu di Lombong Bijih Besi Aring 05, Gua Musang pada jam 8 pagi, 13 November 2017.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Harian Metro pada 15 November lalu melaporkan dua pekerja lombong warga asing ditemui maut dalam keadaan berlipat selepas tersepit dalam mesin di tapak lombong bijih besi.

Siasatan awal mendapati ketika kejadian, dua mangsa itu dipercayai membaiki bilah palong cuci batu sebelum diarahkan keluar. Belum sempat mangsa keluar, pekerja lain membuka suis mesin itu mengakibat­kan mangsa tersepit dan maut di lokasi kejadian.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia