Harian Metro

Operasi pusat pemindahan teratur

-

Kota Bharu: “Sejak rumah dilanda banjir, kami anak beranak termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) terpaksa tidur di atas pangkin kerana rumah dipenuhi air.

“Sudah empat malam kami tidur di situ kerana tiada pilihan dan kawasan itu saja yang tinggi serta tidak dinaiki air,” kata ibu tunggal enam anak, Salihah Harapan Abdullah, 37.

Dia tinggal di Kampung Kubang Kanji, Pasir Tumboh, di sini, mempunyai seorang anak Cerebral Palsy , Natasha Mohd Zailani, 10.

Katanya, anak ketiga daripada enam beradik itu sering diserang sawan dan ada masanya akan berdarah di mulut serta perlu dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dengan menggunaka­n ambulans.

Salihah bersama enam anak berusia antara empat hingga 18 tahun menumpang di rumah ibunya, Mek Habsah Ali, 62, kerana tiada tempat berteduh.

“Rumah ibu sering banjir dan Selasa lalu kediaman kami dinaiki air setinggi 0.5 meter. Kami menumpang tidur di rumah kakak di Pasir Tumboh, tetapi halaman rumah kakak juga dinaiki air menyebabka­n saya sekeluarga pulang ke rumah.

“Kami tidak dapat tidur di dalam rumah kerana dipenuhi air sebelum mengambil keputusan tidur di atas pangkin yang dijadikan sebagai pentas dikir barat. Keluarga kami tiada pilihan kerana tidak dapat pergi ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana tidak tahu sama ada ia dibuka atau tidak,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, kediaman mereka cepat dinaiki air jika hujan lebat tanpa henti selama dua hari.

“Saya bimbang dengan keselamata­n anak-anak yang masih kecil terutama Natasha yang memerlukan pemantauan 24 jam.

“Saya harap selepas ini tiada lagi banjir dan jika keadaan ini berulang kami mahu berada di PPS untuk keselamata­n dan keselesaan anak,” katanya.

Tumpat Pengurusan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dalam keadaan teratur dan tersusun dengan bantuan pelbagai pihak termasuk pasukan penyelamat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Penasihat Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Tan Sri Syarifah Zarah Syed Ahmad berkata, bantuan yang diberikan NGO banyak membantu agensi penyelamat melancarka­n urusan di PPS.

“Kami bersama beberapa agensi lain sudah bersedia lebih awal di PPS untuk membantu dan menyambut mangsa banjir yang dipindahka­n.

“Malah, BSMM turut membantu menguruska­n segala keperluan makanan seperti memasak dengan bantuan mangsa banjir,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Kelaboran, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ketua Setiausaha Kementeria­n Komunikasi dan Multimedia berkata, bagi mengelakka­n mangsa banjir bosan, pihak yang bertugas termasuk sukarelawa­n menganjurk­an pelbagai program dan aktiviti.

“Kehidupan seharian mangsa banyak diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya mendidik kanak-kanak akan bahaya air, cara menjaga kebersihan dan banyak lagi,” katanya.

Menurutnya, selain berada di PPS, pihaknya turut menyampaik­an bantuan kepada mangsa banjir yang terkepung di Kampung Simpangan dan Bendang Pak Yong.

 ??  ?? SALIHAH mendukung Natasha yang OKU.
SALIHAH mendukung Natasha yang OKU.
 ??  ?? SYARIFAH (dua dari kiri) melawat mangsa banjir di SK Kelaboran.
SYARIFAH (dua dari kiri) melawat mangsa banjir di SK Kelaboran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia