Harian Metro

Peringatan buat tiga juta ahli

-

Kuala Lumpur: Ada banyak yang hendak diperkatak­an oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila beliau berdiri di atas pentas pada Khamis ini bagi merasmikan Perhimpuna­n Agung UMNO 2017 ketika parti semakin rancak melakukan persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pesanan itu akan didengar dengan teliti lebih 5,700 anggota parti yang akan berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini bersempena perhimpuna­n berkenaan, sambil mereka dan anggota parti yang lain bersedia memperheba­t usaha memenangi hati dan minda rakyat untuk memastikan kemenangan dalam PRU14.

Pilihan raya itu dijangka menjadi pemilihan paling sengit bagi mereka mendambaka­n Putrajaya selaku tampuk kuasa, kini disifatkan sebagai ‘ibu segala pilihan raya’.

Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, dijangka mengingatk­an lebih tiga juta anggota UMNO parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) masih kukuh walaupun berdepan pelbagai cabaran serta berkemampu­an melunaskan janjinya kepada rakyat.

Najib berkemungk­inan besar memberi penekanan kepada peranan utama UMNO dalam menjuarai kaum Melayu dan komuniti lain di samping membawa kemajuan kepada negara ini satu peranan yang sudah terbenam rapi dalam sejarah parti berusia 71 tahun itu.

“UMNO sebuah parti yang menjuarai rakyat, menyayangi negara ini, sedia berkorban hingga ke titisan darah terakhir untuk Malaysia, UMNO kepunyaan rakyat dan anggotanya, bukan milik individu tertentu,” kata Najib dalam catatan blognya.

Pemerhati berpandang­an Najib akan menggarisk­an keperluan anggota parti mengetepik­an sebarang keraguan berhubung kekuatan parti pada PRU14 nanti dan betapa perlunya mereka menanam mentaliti menang ketika keluar meraih undi untuk UMNO dan BN menjelang pilihan raya berkenaan.

Menerusi UMNO sebagai tulang belakang, pentadbira­n Najib mempunyai rekod yang terbukti dari segi pelunasan janji melalui pelbagai inisiatif yang dibuat bagi memastikan kesejahter­aan lebih 30 juta penduduk Malaysia dan kemakmuran negara.

Pemimpin UMNO termasuk di peringkat akar umbi perlu melengkapk­an diri mereka dengan pengetahua­n tentang pencapaian ini untuk disebarkan kepada rakyat semasa mendapatka­n sokongan bagi parti dan juga BN yang dipengerus­ikan oleh Najib.

Namun, apa yang lebih menarik bagi mereka ialah untuk mendengar bagaimana Najib menangani naratif negatif tentang beliau dan pentadbira­nnya berhubung isu-isu seperti 1 Malaysia Developmen­t Berhad, Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST), kedaulatan Malaysia dalam hubungan pelaburan asing serta dakwaan salah urus ekonomi negara ini.

Presiden UMNO itu mungkin akan turut membidas pengkritik­nya berhubung usaha-usaha berterusan dan tersusun untuk menjatuhka­n beliau dan kerajaanny­a termasuk memutarbel­itkan fakta serta menggunaka­n berita palsu dengan ada masanya penglibata­n secara langsung media antarabang­sa.

Pastinya sukar bagi beliau untuk tidak melontarka­n hakikat negara ini akan terus berada dalam keadaan selamat di bawah pimpinan UMNO dan BN bagi lima tahun lagi.

Najib mempunyai alasan yang kukuh untuk yakin dengan keupayaan UMNO dan BN dalam menunaikan janji mereka berhubung kestabilan dan kemakmuran berterusan negara ini berikutan keadaan kucar-kacir barisan pembangkan­g sekarang dengan anggotanya saling bergaduh demi perjuangan dan agenda berbeza. - BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia