Harian Metro

TOKAN BESAR KECICIRAN SEKOLAH

 5 remaja setakat pendidikan menengah rendah dalang sindiket lalok dalam paket minuman ditahan

- Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Kalidevi Mogan Kumarappa dan Nurul Hidayah Bahaudin am@hmetro.com.my

Latar belakang pendidikan hanya setakat menengah rendah malah ada antara mereka gagal ketika menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Bagaimanap­un, ada dalam kalangan golongan belia keciciran itu mampu hidup mewah selain melaram dengan pelbagai kereta mewah seperti BMW, Mercedes Benz atau Honda baru.

Lagak kaya mereka yang berusia awal 20-an itu mengundang pelbagai persoalan berikutan rata-ratanya enggan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi selain hilang minat menyambung pengajian.

Namun, rahsia kemampuan mereka bergelar jutawan pada usia hijau terbongkar apabila siasatan polis mendapati golongan terbabit adalah dalang sindiket membungkus dadah dalam peket minuman berperisa.

Sumber polis berkata, dalam tangkapan di Pulau Pinang baru-baru ini, seramai tiga lelaki dan dua wanita berusia awal 20-an ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah terancang.

Katanya, hasil serbuan dilakukan polis merampas ekstasi seberat lebih 3.4 kilogram (kg) selain ketamin seberat 50 gram.

“Semua dadah itu dianggarka­n bernilai RM28,000 mengikut harga pasaran tempatan. Latar belakang suspek mendapati kebanyakan mereka adalah penganggur dan dipercayai menjadikan aktiviti menjual dadah sebagai karier utama,” katanya.

Menurutnya, semua suspek yang hanya berpendidi­kan UPSR dan PMR itu bukan hanya menetap di kondominiu­m mewah mengalau dap laut di Butterwort­h, Pulau Pinang, malah turut memiliki kenderaan mewah seperti Mercedes Benz dan BMW selain Toyota Altis dan Vios dipercayai hasil kegiatan jenayah dilakukan.

Katanya, mereka didapati memiliki koleksi rantai dan cincin emas selain wang tunai dalam jumlah besar.

“Kemewahan yang dimiliki hasil kreativiti mereka melakukan ‘penyamaran’ ketika membungkus dadah yang dicampurka­n bersama paket kecil minuman coklat, jus limau dan teh bunga.

“Suspek turut mencampurk­an dadah ke dalam paket minuman mangga yang didakwa minuman fiber serta membuang toksik dalam tubuh. Setiap paket dadah ‘minuman’ campuran itu dijual pada harga ratusan ringgit,” katanya.

Katanya, berdasarka­n siasatan awal polis percaya suspek bertindak sebagai pembekal kepada pusat hiburan bagi menarik kehadiran pelanggan.

“Biasanya minuman paket dadah ini dibancuh di dalam jag besar sebelum dikongsi minum beramai-ramai,” katanya.

Rampasan turut dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras apabila seorang penganggur berusia 25 tahun yang menyasarka­n pengunjung pusat hiburan di Plaza Puchong, Jalan Puchong, di sini, ditahan dalam serbuan Ops Hiburan, jam 12.10 tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, pihaknya menahan lelaki terbabit selepas menemui bekas tin gula-gula mengandung­i pelbagai dadah seperti ketamin, ekstasi dan Eramin 5 selain merampas wang tunai RM450 disyaki hasil penjualan dadah berkenaan.

Katanya, enam individu membabitka­n empat lelaki tempatan dan dua wanita termasuk warga Vietnam berusia 20 hingga 40-an yang ditahan didapati positif dadah selepas polis membuat pemeriksaa­n ke atas 46 individu termasuk pekerja serta pengunjung premis terbabit.

“Susulan itu, pasukan serbuan menemui satu bekas plastik tisu di dalamnya mengandung­i paket plastik minuman berisi dadah berdasarka­n maklumat.

“Nilai rampasan dianggarka­n RM4,450 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

 ??  ?? ANTARA dadah dirampas yang dibungkus dalam peket minuman berperisa.
ANTARA dadah dirampas yang dibungkus dalam peket minuman berperisa.
 ??  ?? ANTARA kereta mewah yang dirampas.
ANTARA kereta mewah yang dirampas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia