Harian Metro

Gadis tangguh kahwin tiada MyKad

-

Kuala Lumpur: “Saya tidak tahu siapa sebenarnya diri ini, saya dan teman lelaki sepatutnya berkahwin tetapi tiada identiti diri menyebabka­n perkahwina­n kami terpaksa ditangguh banyak kali.

“Malah saya penat turun naik Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) namun jawapan yang diterima iaitu saya perlu mencari ibu atau bapa kandung,” demikian rintihan gadis tanpa identiti, Nur Fazlinda Dayana Abdullah, 23.

Katanya, namanya diberi seorang wanita dikenali sebagai Laila yang juga ibu angkatnya dan tinggal di Sungai Buloh, 13 tahun lalu.

“Saya diambil menjadi anak angkat oleh wanita berkenaan ketika berusia 10 tahun sebelum dihantar ke Rumah Titian Kaseh (RTK).

“Sejak itu saya tidak bertemu wanita berkenaan lagi dan saya tidak tahu siapa sebenarnya ibu atau bapa kandung,” katanya kepada Harian Metro.

Dia yang bekerja di sebuah taska berkata, sebolehnya dia mahu berkeluarg­a dan merancang bernikah dengan teman lelaki, namun tiada kad pengenalan menyebabka­n semua urusan tergendala kerana tidak mempunyai identiti.

“Kalau boleh saya mahu jadi warganegar­a yang sah, tidak lagi hidup dalam ketakutan, malah sampai sekarang saya tidak tahu asal-usul atau mengenali siapa wanita melahirkan saya,” katanya.

Dakwanya, sejak berusia 10 tahun lagi dia dibawa penjaga di RTK ke Jabatan Pendaftara­n Negara (JPN) untuk memohon MyKad, namun tidak berjaya berikutan tidak ada bukti boleh menyokong dia dilahirkan di negara ini.

“Sudahlah saya tidak dapat bersekolah dan menikmati kemudahan seperti rakyat Malaysia lain, kini apabila saya bertemu calon suami yang sesuai adakah saya juga tidak boleh berkahwin.

“Apabila difikirkan, lebih baik mati saja daripada berdepan kehidupan rumit dan dilabel ‘wanita tanpa identiti’ berikutan negara kelahiran sendiri tidak mengiktira­f saya sebagai rakyat yang sah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia