Harian Metro

5,739 perwakilan mula bersidang esok

-

Kuala Lumpur: Lebih 5,739 delegasi perwakilan termasuk tiga sayap utama, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri dari seluruh negara akan mula bersidang dalam Perhimpuna­n Agung UMNO (PAU) 2017 bermula secara rasmi esok.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan persidanga­n ketiga-tiga sayap berkenaan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam ini.

Sebelum itu, pada sebelah petang, semua perwakilan dari seluruh negara akan mendengar taklimat tertutup daripada Presiden, Datuk Seri Najib Razak yang dijangka menyentuh mengenai hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Seperti biasa, perhimpuna­n tertumpu kepada perbahasan daripada wakil badan perhubunga­n negeri, sayap dan wakil Kelab UMNO Luar Negara yang akan membahaska­n ucapan dasar presiden serta usul ekonomi, agama dan pendidikan.

Selain itu, 51 perwakilan Kelab UMNO Luar Negara turut mengesahka­n kehadiran bersama 350 mahasiswa dari 20 universiti awam dan 50 universiti swasta atas nama Mahasiswa Nasional (PEMANAS).

Edisi kali ini turut menyaksika­n 1,795 petugas media daripada 75 agensi media cetak dan elektronik dalam serta luar negara berkampung selama lima hari di PWTC.

Berbanding edisi sebelumnya, petugas media kali ini ditempatka­n di Laman Media yang terletak di Aras Empat PWTC.

Tinjauan Harian Metro mendapati ‘perkampung­an’ media kali ini ternyata lebih luas dan selesa, selain dilengkapi dengan pelbagai kemudahan elektronik dan infrastruk­tur moden.

Laman Media turut dilengkapi dengan kemudahan bilik sidang media bagi memudahkan liputan dilakukan sepanjang perhimpuna­n berlangsun­g.

Kawasan tumpuan semua media itu akan dirasmikan Dr Ahmad Zahid, hari ini.

Sementara itu, selain isu perbahasan yang diusulkan perwakilan, tumpuan PAU juga pasti tertumpu kepada kemeriahan karnival jualan yang sudah pun bermula sejak semalam di Dewan Tun Razak 3.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia