Berkhatan fitrah manusia
Selain majlis walimatul urus, cuti panjang persekolahan ini menjadi pilihan ibu bapa membawa anak lelaki mereka menyertai program ‘sunathon’ atau majlis berkhatan secara beramai-ramai.
Biasanya, program seumpama itu dianjurkan pihak masjid, surau atau taman perumahan yang menghimpunkan puluhan atau ratusan peserta menjadikannya lebih meriah.
Apabila kanak-kanak lelaki diraikan sebegitu, sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan debaran sebelum mereka dikhatankan. Lebih meriah pada awal pagi lagi mereka akan dimandikan beramai-ramai menggunakan air pancut daripada pili bomba.
Berbeza dengan zaman dulu, sebelum berkhatan kanak-kanak akan berendam di dalam sungai. Selepas itu mereka diangkat di atas bahu bapa masing-masing sebelum diarak ke tempat berkhatan.
Setiap kanak-kanak perlu duduk di atas batang pokok pisang sebelum dikhatankan oleh tok mudim. Berkhatan sebenarnya adalah ‘acara’ kemuncak sebelum kanak-kanak lelaki memasuki alam remaja.
Sebuah hadis Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Lima perkara tergolong dalam fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menipiskan misai.” (Riwayat Bukhari).
Daripada Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Khitan itu sunah buat lelaki dan memuliakan buat wanita.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)
Jelas berkhatan adalah satu fitrah buat manusia. Berdasarkan fatwa mazhab Syafie dan kebanyakan ulama, khatan itu wajib bagi lelaki dan perempuan.
Berkhatan bagi lelaki ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar. Berbeza dengan perempuan, wajib memotong sedikit daging di atas faraj (isymam) atau cukup sekadar berdarah bagi memenuhi syarat berkhatan.
Bagi perempuan, berkhatan juga adalah bagi memuliakan mereka selain mengekang nafsu syahwat kerana sensitifnya alat sulit mereka lebih tinggi daripada lelaki.
Berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW menegur Ummu ‘Attiyyah al-Ansariyyah iaitu orang yang melaksanakan khatan ke atas kaum perempuan di Madinah dengan sabdanya bermaksud: “Apabila engkau mengkhatan maka khatanlah (dengan memotong sebahagian al-bazhr) dan jangan engkau berlebih-lebihan (dalam memotong) kerana itu menjernihkan air muka perempuan dan mendatangkan kesukaan kepada suami (menambah kenikmatan bersetubuh).” (Hadis riwayat at-Thabrani)
Selain itu, dalil mewajibkan berkhatan adalah melalui sabda Rasulullah yang bermaksud: “Buanglah rambut-rambut kamu yang ada ketika kamu kufur dan berkhatanlah.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Berkhatan mempunyai pelbagai hikmah dan kelebihannya kepada umat Islam. Malah melalui kesedaran dari sudut kesihatan, ramai juga dalam kalangan bukan Islam kini sudah mula berkhatan.
Memang banyak manfaat dari sudut kesihatan, antaranya ia dapat memperelokkan bentuk zakar, membersihkan daripada kekotoran dan menambahkan lagi kelazatan ketika hubungan kelamin.
Bayangkan, bagi lelaki yang tidak berkhatan, kotoran daripada air kencing yang bertakung dalam kawasan kulit zakar pastinya menyebabkan tidak suci untuk melaksanakan ibadat.
Melalui amalan khatan pastinya menjadikan seseorang itu bersih dan sihat. Pendapat wajib khatan untuk lelaki juga adalah berdasarkan arahan di dalam surah an-Nahl, ayat 123, Allah SWT berfirman bermaksud: “Kemudian kami wahyukan kepada kamu (Ya Muhammad iaitu): Ikutlah agama Ibrahim yang lurus dan tidaklah dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang musyrik.”
Apabila anak lelaki dikhatankan, sunat mengadakam majlis kenduri sama seperti meraikan anak baru lahir, orang yang baru balik bermusafir serta majlis khatam al-Quran.
Manakala, bagi anak perempuan hanya sunat dihadiri jemputan dalam kalangan wanita.
Memberi manfaat kepada kesihatan dan hubungan kelamin
Penulis wartawan Harian Metro