Majlis serah tugas
Tawau: Bekas Inspektor Risikan Operasi dan Tahanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu Asisten Superintendan Andi Mamur Halwati dilantik sebagai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau yang baru.
Beliau mengambil tugas daripada Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tawau Inspektor Izwan Abdol Rahman. Majlis serah terima tugas diadakan di bilik mesyuarat IPD Tawau, di sini, semalam, dengan disaksikan Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Superintendan Noor Azizulkifli Mansor.
Andi Mamur yang mula bertugas dalam PDRM pada 2005 berkata, pihaknya akan menguatkan lagi risikan bagi membanteras kes pengedaran dadah rentas sempadan, sekali gus menangkap pengedar dadah dibawah 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.
“Saya dan anggota akan menguatkan lagi risikan dan tangkapan bagi mencegah dan seterusnya mengurangkan pengedaran dadah merentasi sempadan.
“Sebagaimana yang sedia maklum, daerah ini bersempadan dengan Indonesia. Jadi banyak maklumat yang kita terima pengeluaran dadah daripada Indonesia ke Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa masyarakat di daerah ini bekerjasama dalam menyalurkan maklumat kawasan yang menjadi tumpuan penagih dadah tegar untuk melepaskan gian.
“Operasi sistematik akan dilakukan bagi mencegah penjualan dadah jalanan seterusnya menangkap penagih dadah yang berulang supaya dituduh dibawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Oleh itu, saya berharap masyarakat Tawau bekerjasama dengan saya dan anggota lain bagi membasmi jenayah dadah,” katanya.