RM400,000 biaya pendidikan anak Penan
Kuching: Sarawak Energy Berhad (SEB) menyumbang RM400,000 kepada Tabung Amanah Bakun (TAB) untuk membiayai pendidikan anak Penan dan komuniti yang terjejas akibat projek empangan hidroelektrik di negeri ini.
Sumbangan itu bakal memanfaatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Delok, Sk Ulu Engkari, SK Nanga Tibu, SK Sebangki, Sk Skarok dan SK Batang Ai, selain pelajar pendidikan tinggi yang layak dari 48 rumah panjang di kawasan terbabit.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SEB, Sharbini Suhaili berkata, sumbangan pendidikan itu juga adalah sebahagian daripada program pelaburan sosial SEB untuk membantu membangunkan modal insan di negeri ini.
“SEB berharap
inisiatif
pelaburan sosial ini dapat memberi faedah kepada komuniti yang terjejas akibat projek pertama hidroelektrik SEB iaitu Loji Hidroelektrik Batang Ai.
“Selain itu, ia juga sebagai usaha meneruskan inisiatif (SEB) menyokong keperluan pendidikan belia di Sarawak,” katanya sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara SEB dengan TAB untuk memajukan sosioekonomi komuniti menerusi asas pendidikan di ibu pejabat SEB, di sini, semalam.
SEB diwakili Sharbini, manakala TAB diwakili pengerusinya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing. Turut hadir Penolong Pengurus Besar Tanggungjawab Sosial Korporat SEB Jiwari Abdullah, Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang dan Ahli Dewan Undangan Negri (ADUN) Murum Chukpai Ugon.