Harian Metro

BAIK BUAT, BAIKI BUBU

Nelayan manfaat cuti musim tengkujuh cari duit lebih

- Helmy Abd Rahman helmy_rahman@hmetro.com.my

Seberani manapun golongan nelayan meredah lautan untuk menangkap ikan, jarang ada yang ‘tergoda’ meneruskan aktiviti itu ketika musim tengkujuh berikutan keadaan laut bergelora dan ombak besar yang membahayak­an diri.

Bagi nelayan di negeri ini, tempoh ‘cuti’ itu tidak disia-siakan dengan melakukan pelbagai pekerjaan lain termasuk menghasilk­an dan membaiki bubu ikan, sotong serta udang bagi memperoleh pendapatan tambahan selain untuk digunakan sendiri apabila tiba musim ke laut yang bermula sekitar Mac setiap tahun.

“Daripada bermalasan dan berehat saja jika tidak ke laut, lebih baik saya buat atau baiki bubu, setidak-tidaknya boleh dapat duit lebih,” kata Roslan Abd Ghani, 51, ketika ditemui di Kampung Losong Pasir di sini, semalam.

Menurutnya, terdapat lima bahan utama digunakan untuk membuat bubu iaitu dawai, besi, dawai lengkong, tali dan kayu selain penggunaan paku untuk bubu kayu.

“Dalam sehari saya boleh siapkan satu atau dua unit dan biasanya saya buat bila ada permintaan sahaja. Tapi ada juga saya buat untuk dipakai sendiri.

“Kos setiap unit antara RM100 hingga RM200 yang dijual pada harga antara RM150 untuk saiz paling kecil hingga RM300 yang paling besar,” katanya.

Menurutnya, dia belajar membuat bubu daripada arwah ayahnya dan penduduk kampung lebih 30 tahun lalu hingga mahir menghasilk­annya mengikut jenis tangkapan.

“Memang kampung ini terkenal dengan pembuatan bubu, sebab itu mudah bagi saya untuk belajar membuatnya.

“Saya mula-mula buat bubu ketika baru turun ke laut iaitu sekitar 35 tahun lalu dan kini boleh dikatakan mahir dalam pembuatann­ya.

“Bagaimanap­un, sampai sekarang tidak dapat mengelak daripada kemalangan kecil dan pendek kata, tangan berdarah adalah mainan saja,” kata bapa kepada lima anak berusia tujuh hingga 20 tahun itu.

Bagi Mad Yusof Abdullah, 63, nelayan yang ditemui di Kampung Batu Rakit, Kuala Nerus, dia mengkhusus­kan pembuatan bubu sotong.

“Saya banyak menggunaka­n buluh dan dapat hasilkan antara dua hingga tiga unit sehari ketika musim tidak ke laut.

“Bagaimanap­un saya cuma buat untuk kegunaan sendiri saja, belum pernah lagi menghasilk­annya untuk jualan,” katanya.

 ??  ?? ROSLAN mengisi masa lapang dengan membuat bubu di Kampung Losong Pasir.
ROSLAN mengisi masa lapang dengan membuat bubu di Kampung Losong Pasir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia