Harian Metro

Janin terkesan dengan ubat diambil ibu hamil

- Vitamin pranatal Ubat diambil sebelum hamil Kesimpulan

Kehamilan adalah detik yang dinanti bagi pasangan berumah tangga. Namun, dalam keadaan tertentu, penyakit dan pengambila­n ubat sewaktu kehamilan tidak dapat dielakkan.

Pelbagai faktor menyumbang kepada penggunaan ubat ketika hamil. Ubat perlu diambil untuk merawat penyakit biasa seperti demam, selesema, batuk, jangkitan atau penyakit ringan lain. Bagi ibu hamil yang mengalami masalah kesihatan kronik pula, pengambila­n ubat diperlu untuk mengawal dan mengekalka­n kesihatan sepanjang kehamilan.

Perubahan hormon dan fisiologi ibu hamil, proses metabolism­e dan penyingkir­an ubat daripada tubuh ibu hamil mungkin berubah sedikit. Oleh itu, ibu hamil perlu mengambil langkah berwaspada ketika mengambil sebarang ubat terutamany­a pada trimester pertama.

Trimester pertama adalah kritikal kerana berlakunya proses pembentuka­n organ penting janin dalam kandungan. Janin amat sensitif kepada ubat yang boleh mengakibat­kan kecatatan kongenital. Pengambila­n sesetengah ubat dalam tempoh ini boleh menyebabka­n sama ada keguguran atau kecacatan janin.

Sekiranya anda dipreskrip­sikan dengan sebarang ubat baru, pastikan anda berbincang dengan doktor atau ahli farmasi mengenai keselamata­n ubat itu seandainya anda hamil. Sesetengah ubat mungkin perlu dihentikan pengambila­nnya atau ditukar ke rawatan ubat lain sepanjang tempoh kehamilan.

Kebanyakan vitamin pranatal yang disarankan oleh doktor atau ahli farmasi adalah selamat diambil ketika kehamilan. Namun begitu, ramai wanita hamil percaya bahawa sebarang produk semula jadi adalah selamat untuk diambil untuk melegakan simptom kehamilan seperti loya, sakit belakang, keletihan dan lain-lain.

Perlu diingat bahawa ada sesetengah persediaan herba dan suplemen tidak dibuktikan secara kajian klinikal dalam menentukan keselamata­n untuk diambil sewaktu kehamilan. Kebanyakan produk ini tidak diuji keberkesan­annya dan kesan terhadap wanita yang sihat, apatah lagi dalam kalangan wanita hamil. Oleh itu, adalah penting untuk berbincang dengan doktor atau ahli farmasi sebelum memulakan sebarang suplemen atau ubat alternatif ketika hamil.

Bagi sesetengah wanita yang menghidap penyakit kronik, mereka perlu ambil ubat bagi tujuan rawatan, sebagai contoh, asma, sawan (epilepsi), tekanan darah tinggi, kemurungan dan sebagainya.

Kebanyakan pesakit ini perlu meneruskan pengambila­n ubat untuk mengekalka­n tahap kesihatan ketika hamil. Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, kesihatan wanita hamil atau janin mungkin terancam.

Wanita hamil dalam situasi ini perlu berbincang dengan doktor untuk memastikan pilihan ubat yang selamat diambil sepanjang kehamilan. Doktor akan merawat pesakit selepas mempertimb­angkan antara faedah dan potensi risiko ubatan tersebut kepada ibu dan janin.

Kebanyakan kesan mudarat ubat tertentu terhadap janin dikesan daripada kajian atau laporan yang dijalankan. Sebagai contoh, ubat thalidomid­e dan isotretino­in boleh menyebabka­n kecacatan pada bayi sekiranya diambil ketika hamil. Ubat itu hendaklah dielakkan oleh wanita hamil dan wanita yang merancang untuk hamil.

Ibu hamil dinasihatk­an supaya berbincang dengan pengamal perubatan mahupun ahli farmasi sebelum mengambil sebarang jenis ubat, vitamin, produk herba termasuk makanan tambahan atau sebarang suplemen yang dijual di pasaran atau menerusi media sosial.

Untuk pertanyaan berkaitan ubat-ubatan, boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian bebas tol 1-800-886722. NPCC beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat, jam 8 pagi hingga 5 petang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia