Harian Metro

KORBAN CUCU

Dua beradik jaga datuk terlantar ketika ibu jalani rawatan dialisis di hospital

- Lapor Garret Dawum

Umur mereka belum mencecah 10 tahun tetapi Ahmad Danial Haziq Mawizam, 8, dan adiknya Ahmad Danial Harraz, 6, perlu menjadi contoh kepada kanak-kanak lain kerana sudah tahu apa erti tanggungja­wab terhadap keluarga. Mereka sanggup melihat saja rakan sebaya bermain kerana mahu menjaga makan minum malah memasak makanan ringkas buat datuk mereka, Yunus Yut, 70, yang terlantar sakit ketika ibu mereka, Yuslina Yunus, 37, terpaksa ke hospital untuk dialisis kerana menghidap masalah buah pinggang tahap empat dan masalah jantung.

Kehidupan dua beradik ini tidak seperti kanak-kanak lain yang memenuhi masa lapang dengan membaca buku, menonton televisyen mahupun bermain bersama rakan sebaya.

Sebaliknya rutin Ahmad Danial Haziq Mawizam, 8, dan adiknya Ahmad Danial Harraz, 6, ialah membantu ibu menyediaka­n makan dan minum untuk datuk mereka, Yunus Yut, 70, yang terlantar sejak tujuh bulan lalu akibat kecederaan tulang pinggul.

Keadaan diburukkan lagi apabila emak mereka yang juga ibu tunggal, Yuslina Yunus, 37, disahkan menderita masalah jantung dan kerosakan ginjal tahap empat sejak sebulan lalu, sekali gus memerlukan rawatan dialisis tiga kali seminggu.

Walaupun usia masih muda, kedua-dua anak kecil itu memahami penderitaa­n ibu yang sebelum ini menjadi punca rezeki keluarga yang mengambil upah mengasuh dengan pendapatan RM700 sebulan, tetapi kini sukar bekerja kerana perlu berulang-alik ke hospital.

Malah, kedua-duanya tidak jemu mengambil alih tugas menjaga datuk mereka.

“Saya sayang datuk kerana dia banyak tolong kami sejak kecil. Saya akan buat apa saja untuk dia,” kata Ahmad Danial Haziq di rumah mereka di Bandar Saujana Putra, dekat sini.

Katanya, rutin harian sebelum ke sekolah adalah memastikan datuk mengambil sarapan sementara ibunya berada di hospital untuk rawatan dialisis.

“Datuk suka minum teh tarik. Jika bukan adik, saya yang bancuh untuknya. Pada waktu petang, selesai sekolah agama, datuk minta saya beli roti canai di kedai.

“Sekarang cuti sekolah, jadi saya jaga datuk. Saya tidak ke mana-mana,” katanya.

Melupakan seketika dunia kanak-kanak, Ahmad Danial Haziq berkata, buat masa ini, kesihatan datuknya keutamaan bagi mereka.

“Ibu pun sakit. Saya perlu tolong dia urus datuk. Biarpun saya cemburu lihat kawan bermain di luar, tetapi datuk dan ibu lebih penting.

“Saya juga cuba cari masa terluang jika mahu bermain bersama rakan. Apa yang penting, saya pastikan datuk makan dan mandi,” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Height 2, dekat sini.

“Ibu banyak ajar kami cara masak dan bancuh air, selain masakan yang mudah disediakan di dapur.

“Selain itu, saya dan adik juga tidak kisah bersihkan najis dan mengelap tubuh datuk,” katanya.

Ditanya berkenaan pelajaran, kanak-kanak itu memberitah­u, dia meminati subjek Bahasa Melayu.

“Saya mahu jadi cikgu dan bantu ibu apabila besar nanti. Sepanjang ibu di hospital, saya memang pernah tidak hadir ke sekolah.

“Selepas ini saya berjanji ke sekolah selalu dan berdoa ibu dan datuk cepat sihat,” katanya.

Mereka yang ingin membantu boleh menyalurka­nnya ke akaun Public Bank Yuslina Yunus 6382546727.

Saya sayang datuk kerana dia banyak tolong kami sejak kecil

Ahmad Danial Haziq

 ??  ?? Sebelum kesekolah pastikanda­tuk ambilsarap­an danibubuat
dialisis
Sebelum kesekolah pastikanda­tuk ambilsarap­an danibubuat dialisis
 ??  ?? AHMAD Danial Haziq (kanan) dan Ahmad Danial Harraz menguruska­n datuk mereka yang terlantar di rumah mereka di Pangsapuri Impian, Bandar Saujana Putra.
AHMAD Danial Haziq (kanan) dan Ahmad Danial Harraz menguruska­n datuk mereka yang terlantar di rumah mereka di Pangsapuri Impian, Bandar Saujana Putra.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia