Harian Metro

Ikhlas bekerja kerana Allah SWT

-

Ibu kepada sifat mahmudah adalah ikhlas. Sifat itu biasanya dikaitkan dengan pelbagai ibadat dalam kehidupan seharian manusia seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya.

Malah dalam konteks ibadat umum seperti bekerja juga perlu kepada keikhlasan. Apabila nilai ikhlas itu berjaya dijelmakan dalam pekerjaan pasti ia membuahkan nilai yang baik.

Sebelum melakukan sebarang pekerjaan, kita perlu tanya pada diri apakah niat kita bekerja hari ini? Pastinya ramai mengatakan kerja yang dilakukan itu untuk memperoleh gaji bagi menanggung keluarga dan pekerjaan itu punca rezeki mereka.

Jika itu saja yang berlegar di fikiran kita bermakna perbuatan itu tiada bezanya dengan orang bukan Islam. Setiap mukmin mestilah perlu lebih baik daripada itu iaitu niat mesti ada hubung kaitnya dengan Allah SWT.

Kita mesti hadirkan niat seperti, ‘Aku melakukan kerja ini adalah untuk mendapat rezeki yang halal dan berkat kerana Allah SWT menuntut aku berbuat demikian’ atau ‘Aku bekerja ini adalah untuk membela nasib keluarga sepertiman­a yang Allah SWT wajibkan ke atas aku sebagai ketua keluarga’.

Keindahan Islam itu terserlah apabila membolehka­n setiap Muslim bekerja untuk mendapatka­n keperluan dalam hidup mereka iaitu gaji dan apabila kerja itu dilaksanak­an dengan menepati syarat dan syarak pasti membuahkan pahala.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhn­ya Allah menyukai jika seseorang daripada kamu yang melakukan kerjanya dengan elok (itqan).” (Riwayat al-Baihaqi)

Sememangny­a ikhlas itu terlalu tersembuny­i kerana ia termasuk rahsia dalam rahsia Allah SWT. Tiada petunjuk menentukan sama ada seseorang itu bekerja dengan ikhlas atau tidak.

Saidina Ali pernah menyatakan, orang yang ikhlas itu sama saja, sama ada orang memuji atau mengejinya di belakang atau hadapan orang, ibadatnya tetap sama.

Yang pasti, pelaksanaa­n kerja yang betul adalah tidak terbabit dengan perkara-perkara haram, mungkar dan dosa. Perkara asas dalam Islam perlu sentiasa dijaga dan dilaksanak­an.

Solat misalnya, tidak boleh ditinggalk­an walau sesibuk mana sekalipun kita bekerja. Selain itu, perhatikan juga sikap jika ditakdirka­n kita memperoleh kejayaan dalam pekerjaan yang dilakukan.

Bagi membuktika­n kesyukuran, kita perlu merasakan segala nikmat pemberian itu sebenarnya datang daripada Allah SWT bukannya daripada kebolehan dan kebijaksaa­n diri kita.

Lihat saja kisah kesombonga­n Qarun yang merasakan kemampuann­ya mengumpul harta disebabkan kelebihan dirinya sendiri.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahua­n dan kepandaian yang ada padaku.” (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami bahawa Allah membinasak­an sebelumnya, dari umat-umat yang lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadany­a dan lebih banyak mengumpulk­an harta kekayaan? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahui­nya). (Surah al-Qasas, ayat 78)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia