Harian Metro

Pembaris ‘modal’ curi kereta

 Geng Vicky Boy aktif larikan kenderaan sejak enam bulan lalu tumpas

- Mohd Hasbi Sidek mohd.hasbi@hmetro.com.my

Satu sindiket curi kereta dikenali sebagai Geng Vicky Boy dikesan menggunaka­n pembaris untuk membuka kunci pintu kereta sebelum menghidupk­an enjin dengan menyambung­kan kabel plug.

Geng yang aktif sejak lebih enam bulan lalu di sekitar ibu kota itu kebiasaann­ya menyasarka­n kenderaan lama yang tidak mempunyai sistem keselamata­n canggih.

Mereka melarikan kenderaan berkenaan dan meletakkan­nya di tepi jalan atau kawasan parkir perumahan flat sebelum mencari pelanggan untuk menjual komponen kereta berkenaan.

Bagaimanap­un, kumpulan terdiri daripada empat lelaki itu tumpas apabila ditahan dalam dua serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sekitar Sungai Buloh dan ibu kota pada 4 serta 5 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, pihaknya menahan empat lelaki berusia antara 21 hingga 39 tahun dan merampas 17 kenderaan pelbagai model dianggarka­n bernilai RM200,000.

“Serbuan pertama di sebuah rumah di Desa Aman, Batu 11, Sungai Buloh, dan menahan seorang lelaki dipercayai dalang utama sindiket terbabit dikenali sebagai Vicky berusia 39 tahun.

“Hasil tangkapan, serbuan kedua di Jinjang pada 5 Disember menahan seorang lagi lelaki berusia 21 tahun sebelum serbuan ketiga di Chow Kit pada hari sama menahan dua lelaki berusia 31 dan 33 tahun,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, 17 kereta iaitu 10 Perodua Kancil, dua Proton Satria, dua Proton Wira, sebuah Proton Saga, sebuah Honda Accord dan sebuah van Nissan Vanette dirampas selepas ditemui di sekitar Sentul, Gombak, Petaling Jaya, Ampang serta Wangsa Maju.

“Siasatan mendapati, mereka mencuri kenderaan yang senang dibuka kerana geng ini hanya menggunaka­n pembaris. Komponen daripada kenderaan dicuri dijual dan kebiasaann­ya alat yang mendapat permintaan tinggi seperti lampu, radio atau pemain CD serta amplifier.

“Dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah. Semua mereka direman 15 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

 ??  ?? MUNUSAMY (kanan) memeriksa kereta yang dirampas di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada sidang media di Sentul Work, semalam.
MUNUSAMY (kanan) memeriksa kereta yang dirampas di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada sidang media di Sentul Work, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia