Harian Metro

Wanita lumpuh maut sesak nafas dalam kebakaran

-

Seorang wanita yang lumpuh separuh badan maut akibat sesak nafas selepas rumahnya di Kampung Singkir Laut, di sini, terbakar semalam.

Mangsa, Fauziah Abdullah, 69, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik Kementeria­n Kesihatan yang bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib berkata, ketika kejadian, mangsa yang lumpuh separuh badan sejak tiga tahun lalu bersendiri­an di rumah kerana suaminya, Ibrahim Abdul Rahman, 68, keluar membeli barang di kedai berdekatan.

Katanya, sebaik suaminya pulang, dia terkejut melihat kepulan asap dari rumahnya dan bergegas mengeluark­an isteri dengan bantuan jiran.

“Mangsa bagaimanap­un disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Yan pasukan paramedik,” katanya.

Fauzi berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.40 pagi dengan jentera pertama tiba di lokasi 12 minit kemudian dan mendapati rumah kayu terbakar.

“Rumah berkenaan terbakar 90 peratus dan operasi tamat jam 12.49 tengah hari serta punca kejadian sedang disiasat,” katanya ditemui di lokasi semalam.

Menurutnya, operasi memadam kebakaran itu disertai 13 pegawai dan anggota dari BBP Yan serta Guar Chempedak dan dibantu 19 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tanjung Dawai, Bedong serta Guar Chempedak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia