Harian Metro

3 ditetak sebelum rumah dibakar

-

Kuala Langat: Hayat dua warga emas bersama dua cucunya berakhir dalam keadaan tragis apabila mereka bukan saja dibunuh, malah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, di sini, turut dibakar sehingga mereka ditemui rentung. Dalam kejadian jam 5 pagi semalam, Lim Mai Shak,

68, Chia Tee Nang, 73, dan dua cucu mereka iaitu Chia Yuan Bin dan Ryan Chia Zeng Xi, masing-masing berusia tiga dan 10 tahun maut dalam kejadian itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati kebakaran berlaku dipercayai akibat unsur khianat.

Malah beliau berkata, pemeriksaa­n mendapati tiga daripada empat mangsa yang rentung mempunyai kesan tetakan senjata tajam pada tubuh mereka.

“Semua mangsa dipercayai dibunuh kemudian rumah mereka dibakar.

“Bagaimanap­un, punca sebenar kematian hanya akan disahkan selepas bedah siasat dijalankan,” katanya.

Fadzil berkata, motif sebenar kejadian sama ada berkaitan rompakan atau lain-lain sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, seorang cucu mangsa berusia 12 tahun yang juga abang kepada Ryan Chia terselamat kerana menyorok di dalam bilik air sebelum meloloskan diri ke luar rumah.

Sementara itu tinjauan di Unit Perubatan Forensik Hospital Banting di sini, semalam mendapati keempat-empat mayat tiba jam 10.30 pagi dan bedah siasat dilakukan hari ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia