Harian Metro

Islam masuk ke Thailand melalui pedagang Cina

-

Di utara Thailand ada sekitar 50,000 ribu umat Islam daripada pelbagai kumpulan etnik. Daripada jumlah itu, seramai 15,000 hingga 20,000 Muslim datang dari Yunnan, China.

Islam diperkenal­kan di China pada Dinasti Tang iaitu sejak 652 Masihi atau selepas 22 tahun kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Cina Muslim di utara Thailand adalah mereka yang berketurun­an Hui di China. Kebanyakan Hui berasal dari Wilayah Yunnan.

Pada penghujung abad ke-19, sejumlah besar Hui bermigrasi ke Myanmar yang dikenali sebagai Muslim Panthay.

Apabila Hui dan Panthay berpindah dan menetap di utara Thailand sejak awal 1900-an, mereka dikenali sebagai ‘Haw’ atau ‘Ho’.

Sehingga kini, masyarakat Cina Muslim berasal dari Yunnan dan menetap di utara Thailand menggunaka­n ‘Haw’ yang merujuk mereka berasal dari China.

Kumpulan pedagang Muslim Yunnan bergerak masuk sehingga ke Tibet melalui Assam, Burma, Thailand dan Laos sejak abad ke-18 lagi.

Barangan yang dibawa ke selatan termasuk pakaian, buah-buahan, kekacang, permaidani dan garam. Kumpulan pedagang sama akan kembali ke Yunnan dengan membawa kapas mentah, batu permata dan bijirin.

Menjelang akhir abad ke-19, ada dua laluan utama kumpulan pedagang Yunnan iaitu melalui Simoa di Selatan Yunnan dan utara Thailand iaitu melintasi wilayah Myanmar dan Laos.

Hasil jaringan perdaganga­n itu secara tidak langsung wujud perkampung­an Yunnan Muslim di utara Thailand dikenali sebagai Ban Haw (Kampung Haw) di daerah Wiang Phing, Chiang Mai.

Menurut Ketua Jabatan Pengajian Keamanan Universiti Payap, Chiang Mai, Dr Suchart Setthamali­nee, kumpulan pertama migrasi Yunnan Muslim diketuai seorang Hui Muslim iaitu Zheng Chong-Ling yang mula membina penempatan di daerah Wiang Ping.

Sebuah rumah dibina sebagai tempat meletak barangan dagangan mereka. Hasil kepakaran dalam bidang keusahawan­an, Yunnan Muslim dari Chiang Mai dan Chiang Rai menjalanka­n perniagaan secara borong atau runcit dengan masyarakat tempatan.

Berikutan wujudnya daerah Yunnan Muslim di Chiang Mai, komuniti Islam Yunnan berkembang pesat. Ada yang membawa isteri masing-masing dan berkahwin dengan wanita tempatan Thailand.

Menurut Dr Suchart yang berketurun­an campuran Cina Yunnan dan Thai, masyarakat Cina Muslim Yunnan membina sebuah masjid dinamakan Masjid Islam Ban Haw sebagai memenuhi keperluan mereka.

Masjid berkenaan dibuka pada 9 September 1917. Di kawasan kompleks masjid itu juga ada perpustaka­an mini dan sekolah agama.

Bagi menampung pertambaha­n penduduk migran Yunnan di Chiang Mai, sebuah lagi penempatan Yunnan diwujudkan di daerah Sampakhoi yang mempunyai sebuah masjid sendiri.

Sebuah sekolah Islam dua tingkat turut dibina iaitu Sekolah Attaqwa yang diasaskan Yong Fu-Anand. Sekolah agama yang dibuka pada 1973 menawarkan pendidikan bahasa Arab, pengajian Quran dan akhlak dan mempunyai lebih 100 pelajar.

Baru-baru ini, Masjid Islam Ban Haw mengadakan majlis sambutan ulangtahun ke-100 penubuhann­ya. Pelbagai program diadakan termasuk forum, ceramah dan persembaha­n nasyid kanak-kanak.

Majlis sambutan turut dihadiri masyarakat bukan Islam tempatan serta pelancong Cina Muslim dari Taiwan, Myanmar, Malaysia serta China dari Yunnan, Beijing, Shenzen, Yiwu.

Penulis ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Universiti Putra Malaysia (UPM)

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia