Harian Metro

Kembar dilindungi

- Rizanizam Abdul Hamid mrizanizan@hmetro.com.my

 Bayi pasangan kekasih cuba dijual dalam talian minggu lalu diletakkan di bawah jagaan NGO

Bayi kembar pasangan kekasih yang cuba dijual dalam talian pada harga RM15,000 Jumaat lalu diletakkan dalam jagaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) JKM Mohd Fazari Mohd Salleh berkata, JKM Wilayah Persekutua­n Kuala Lumpur (WPKL) mengambil tindakan segera menyelamat bayi berkenaan mengikut peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

Menurutnya, kedua-dua bayi berkenaan dalam keadaan sihat di bawah kendalian pusat NGO yang terletak di ibu negara sambil diawasi JKM.

“Ini adalah kes pertama penjualan bayi di Internet yang dilaporkan kepada kami dan berjaya diselamatk­an Pegawai Pelindung JKM hasil maklumat orang ramai.

“JKM memandang serius kes sebegini dan kesal kerana perbuatan mengiklank­an penjualan bayi boleh berlaku di laman sesawang jual beli yang popular di negara ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, Mohd Fazari berkata, JKM memohon kerjasama orang ramai melaporkan segera kepada mereka sekiranya menemui kes penjualan bayi di mana-mana laman sesawang atau media sosial untuk tindakan segera.

“Orang ramai boleh melaporkan­nya dengan menghubung­i Talian Kasih Kementeria­n Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat di nombor 15999,” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan polis menahan sepasang kekasih yang cuba menjual bayi kembar mereka dalam talian malam Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek wanita berusia 20 tahun ditahan di rumahnya di Setapak pada jam 8 malam manakala suspek lelaki berusia 18 tahun di rumahnya di Ampang sejam kemudian.

Portal berita tempatan melaporkan aktivis sosial Syed Azmi Alhabshi menerima aduan mengenai pengiklana­n di mudah.my mengenai penjualan bayi kembar daripada seorang wanita berusia 20 tahun.

Bayi kembar itu dijual pada harga RM15,000 dan ia disertakan sekali keterangan dan gambar bertulis

Susulan aduan itu, Syed Azmi menghubung­i pihak portal mudah.my yang mengambil tindakan pantas menurunkan iklan bertarikh 8 Disember lalu daripada laman sesawang mereka.

Aktivis sosial itu seterusnya menghubung­i pegawai polis di Bukit Aman dan JKM bagi mendapatka­n perlindung­an terhadap dua bayi malang berkenaan.

Sementara itu, usaha wartawan mendapatka­n komen portal mudah.my tidak berhasil apabila diberitahu pihak pengurusan bermesyuar­at sejak pagi hingga jam 4 petang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia