Harian Metro

MAIS terima pengerusi baru

- Ayusliza Azizan am@hmetro.com.my

 Sultan Sharafuddi­n turut berkenan melantik tiga anggota baru bagi sesi 2018 hingga 2020

Sultan Selangor Sultan Sharafuddi­n Idris Shah berkenan melantik mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Khusrin Munawi sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) baru berkuat kuasa 1 Januari ini.

Pelantikan berkenaan menggantik­an Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa yang tamat tempoh perkhidmat­an sebagai Pengerusi MAIS sejak 2005.

Sultan Selangor turut berkenan melantik dan menerima sembah menghadap tiga anggota MAIS yang baru bagi sesi 2018 hingga 2020 iaitu Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam Kolej Universiti Islam Antarabang­sa Selangor (KUIS), Dr Mohd Farid Ravi Abdullah; Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Khadijah Mohd Khambali @ Hambali dan Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Yasmin Hanani Mohd Safian.

Pelantikan sebagai anggota MAIS itu berkuat kuasa dari 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2020 dan menjadikan keseluruha­n anggota MAIS seramai 20 orang.

Baginda bertitah, ahli MAIS adalah terdiri daripada golongan profesiona­l yang mempunyai kemahiran, pengalaman dan kebijaksan­aan dalam bidang masing-masing.

Titah baginda, semua yang dilantik mempunyai peranan penting mengikut kepakaran masing-masing dalam memacu hala tuju pembanguna­n syiar Islam di Selangor supaya mencapai tahap kecemerlan­gan yang tinggi.

“Beta mengingatk­an semua Ahli MAIS yang dilantik ini menjalanka­n tugas dengan amanah, telus, cekap dan berintegri­ti.

“Beta mahu setiap Ahli MAIS berusaha keras bagi mengembang­kan syiar Islam, di samping tidak mengenepik­an pembanguna­n ekonomi umat Islam di Selangor,” titah Baginda.

Majlis berkenaan disempurna­kan pada Istiadat Pengurniaa­n Watikah Pelantikan Anggota MAIS baru bagi sesi 2018 hingga 2020 dan Majlis Santapan Tengah Hari bersama 423 Imam Masjid seluruh Selangor di Istana Alam Shah di sini, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia