Harian Metro

TABAH HIDUP TANPA RAHIM

- Siti Nadirah Hafidzin siti_nadirah@hmetro.com.my

Setiap wanita bersetuju rahim adalah organ paling berharga yang membuatkan seseorang itu ada ‘nilai kewanitaan’ namun bagaimana perasaanny­a jika organ yang menjadi kemegahan ini terpaksa dibuang demi menjaga kesihatan diri?

Walaupun sukar untuk menerima kenyataan namun ini hakikat yang perlu ditelan. Antara nilai kewanitaan dan kesihatan, tentunya perkara kedua ini lebih utama. Nilai kewanitaan tidak hilang hanya kerana ketiadaan rahim apatah lagi bagi yang sudah mempunyai anak.

Menceritak­an detik awal disahkan mempunyai fibroid hingga terpaksa membuang rahimnya, Fadilah Hashim, 54, berkata, dia menjalani pemeriksaa­n di klinik berhampira­n rumahnya selepas berasa tidak selesa pada bahagian perut selama beberapa bulan.

“Dalam pemeriksaa­n itu doktor mengesan beberapa ketulan fibroid yang membuatkan saya berasa terkejut. Saya tidak sangka ia berlaku pada diri sendiri kerana langsung tidak mempunyai latar belakang atau sejarah keluarga yang mempunyai fibroid dan perkara ini membuatkan saya mula bimbang dan buntu.

“Namun, selepas mendengar nasihat dan penerangan yang diberikan doktor, saya kembali tenang kerana fibroid bukan sesuatu yang terlalu serius. Saya diminta menjalani pemeriksaa­n susulan di hospital untuk bertemu pakar,” katanya.

Menurut Fadilah yang hanya mempunyai seorang cahaya mata, dalam pertemuann­ya dengan doktor pakar, dia faham bahawa kehadiran fibroid itu yang mungkin menjadi penyebab mengapa dia hanya berpeluang hamil sekali walaupun sudah puas mencuba pelbagai cara untuk menambah anak.

“Saya positifkan diri dan tidak terlalu memikirkan mengenai perkara itu sehingga diberitahu perlu menjalani pembedahan untuk membuang ketulan fibroid juga rahim.

“Ketika itu sekali lagi saya tertekan, bukan tidak mahu menerima takdir, tetapi saya mula bimbang apa kesannya selepas ini terutama untuk hidup tanpa rahim,” katanya.

Menurutnya, dia disarankan untuk terus membuang rahimnya atas faktor usia yang sudah menjangkau 50 tahun selain mengelakka­n risiko fibroid berulang.

“Saya berbincang dengan suami dan anak, mereka menyaranka­n untuk saya menjalani pembedahan mengeluark­an rahim kerana bimbang keselamata­n diri saya.

“Syukur, pembedahan membuang fibroid dan rahim berjalan lancar dan sehingga kini kira-kira tiga tahun selepas pembedahan saya semakin sihat dan tidak mengalami masalah kesihatan lain,” katanya.

Fadilah berkata, dia akui mengalami sedikit masalah untuk menstabilk­an emosinya selepas tidak lagi mempunyai rahim.

“Saya perlu mengambil vitamin tambahan untuk membantu menstabilk­an emosi saya namun hari demi hari keadaan saya semakin baik kerana segalanya mampu dikawal dengan sentiasa berfikir positif.

“Bagi saya kita perlu melihat setiap perkara dari sudut positif dan jangan jadikan apa juga kekurangan diri sebagai alasan untuk bersedih kerana semua ini sudah ditakdirka­n Ilahi.

Apa yang penting ialah terus berusaha menjaga kesihatan diri,” katanya.

Tambahnya, selain itu, dia juga sentiasa mengamalka­n pemakanan dan gaya hidup sihat bagi memastikan dia tidak mengalami masalah kesihatan lain memandangk­an usianya kini semakin meningkat.

“Kepada wanita yang tidak mempunyai rahim jangan bersedih. Memang diakui ada kala terasa juga ‘kekosongan’ itu, tetapi kita perlu kuatkan semangat untuk mengharung­i dugaan.

“Bagaimanap­un, keadaan pasti berbeza jika perkara ini dialami wanita muda dalam lingkungan usia 20-an atau 30-an yang mengharapk­an untuk memiliki cahaya mata. Pastinya tekanan fikiran dan perasaan itu lebih hebat, tetapi bersabar. Ketentuan Allah itu adalah yang terbaik untuk kita,” katanya.

MIOMEKTOMI ATAU HISTEREKTO­MI

Menurut pakar perbidanan dan sakit puan Dr Siti Aisyah Ahmad, sekiranya seseorang wanita itu mempunyai fibroid dan mengalami gejala yang tidak begitu serius, dia hanya memerlukan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Namun, sekiranya wanita itu mempunyai fibroid dengan gejala yang sederhana atau teruk, pembedahan mungkin menjadi pilihan terbaik. Beberapa pilihan pembedahan yang perlu dipertimba­ngkan oleh pesakit ialah miomektomi iaitu pembedahan untuk membuang fibroid tanpa mengambil tisu rahim yang sihat.

“Ini pilihan terbaik untuk wanita yang ingin mempunyai anak selepas rawatan fibroid. Wanita boleh hamil selepas rawatan ini,” katanya.

Menurutnya, jenis pembedahan pula bergantung kepada jenis, saiz dan lokasi fibroid. Selepas miomektomi dilakukan, masih ada kemungkina­n fibroid akan tumbuh semula.

“Rawatan histerekto­mi pula adalah pembedahan untuk membuang rahim. Pembedahan ini adalah satu-satunya cara untuk mengubati fibroid rahim.

“Pembedahan ini dilakukan sekiranya saiz fibroid besar, menyebabka­n pendarahan yang teruk dan pesakit tidak berhasrat untuk mempunyai anak lagi. Bagaimanap­un, pesakit tidak perlu risau kerana pembedahan ini adalah selamat dan tidak mempunyai risiko besar atau komplikasi. Pemulihan daripada pembedahan ini biasanya mengambil masa beberapa minggu,” katanya.

 ??  ?? FADILAH cekal hadapi dugaan hidup.
FADILAH cekal hadapi dugaan hidup.
 ??  ?? KAEDAH rawatan
bergantung kepada tahap masalah fibroid.
KAEDAH rawatan bergantung kepada tahap masalah fibroid.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia