Harian Metro

Isteri tak bernyawa

- Harun Yahya am@hmetro.com.my

 Kereta dinaiki pasangan warga emas rempuh jengkaut diparkir

Sayu hati seorang suami apabila melihat isteri yang duduk di sebelahnya kaku tidak bernyawa selepas kereta yang dinaiki mereka merempuh jengkaut yang diparkir di tepi Jalan Sungai Bidut di sini, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 5.50 pagi itu menyebabka­n Hii Kee Chuo, 66, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala suaminya yang juga berusia 66 tahun hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zailani Amit berkata, pasangan berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari Sungai Bidut menuju ke Sungai Merah.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu Perodua Myvi berkenaan tidak menyedari jengkaut diparkir di bahu kiri jalan sebelum merempuh belakang kenderaan berat itu.

“Rempuhan kuat itu menyebabka­n penumpang depan kereta berkenaan meninggal dunia tersepit di tempat duduk manakala pemandunya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang terpaksa dikeluarka­n dengan berhati-hati memandangk­an bahagian depan kereta berkenaan remuk.

“Mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Sibu bagi tindakan lanjut manakala pemandu yang cedera ringan turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, pemandu lori sawit maut selepas kenderaan yang dipandunya itu terbabas ke dalam parit di Jalan Taman Aman di Pasar Durin, Kanowit, semalam.

Kong Shion Foh, 61, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan mayat dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

 ??  ?? KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa selepas merempuh jengkaut yang diparkir di tepi jalan.
KEADAAN kereta yang dinaiki mangsa selepas merempuh jengkaut yang diparkir di tepi jalan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia