Harian Metro

Ingin sambut Hari Natal bersama bapa

-

Kota Kinabalu: “Saya berhasrat menemui bapa kandung saya. Itu impian saya untuk Hari Natal tahun ini,” kata penghuni rumah kebajikan Persatuan Rumah Amal Sabah (Sabah Cheshire Home) Aunnie Lau, 38.

Wanita orang kurang upaya (OKU) yang sukar bergerak kerana penyakit polio itu antara 52 penghuni rumah itu yang diraikan dalam sambutan Hari Natal anjuran Maxis Berhad, semalam.

Penghuni rumah itu terdiri daripada warga emas, OKU dan kanak-kanak yang tiada ibu bapa.

Menurut Aunnie, sejak kecil, dia tidak berpeluang menatap wajah bapanya.

“Saya mahu melihat wajahnya kerana sejak lahir saya tidak pernah melihat wajahnya apatah lagi mengenalin­ya,” katanya.

Aunnie yang bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak berkata, dia ditempatka­n di rumah amal terbabit sejak 2010 selepas dia hilang tempat bergantung apabila kematian datuk dan neneknya.

Wanita yang berasal dari Tambunan ini berkata, hanya ibu, Nori Markus, 55, yang datang melawatnya tiga bulan sekali.

Menurutnya, biarpun tiada tempat bergantung, dia masih ingat pengorbana­n datuk dan nenek yang menjaganya sebelum ini menjadi pembakar semangatny­a untuk menjadi insan lebih baik.

“Saya kini sedar hanya kekuatan pada diri untuk berdikari mengubah masa depan saya kerana sebelum saya masuk ke rumah ini, saya hanya terlantar di tilam di rumah di kampung saya.

“Selepas datuk dan nenek meninggal dunia, saya berusaha keras untuk berdikari.

“Perlahan-lahan, saya mengambil masa selama lebih setahun setengah untuk belajar duduk,” katanya.

Menurutnya, meskipun tanpa kehadiran ahli keluarga, dia berbangga kerana kini mampu menghasilk­an kraf seperti cekak rambut dan cenderamat­a secara kecil-kecilan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia