Duduk semeja bantu rakyat
Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bawa NGO, pakar bincang usaha tangani kos tinggi
Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang ditubuhkan kerajaan Sabtu lalu akan turut dianggotai pakar daripada bidang tertentu seperti ekonomi, pengangkutan dan pendidikan serta badan bukan kerajaan (NGO).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelantikan pakar dan NGO dalam majlis ini perlu supaya semua pihak boleh duduk bersama dan berbincang mengenai usaha menangani kos sara hidup.
“Mereka boleh membantu kita menangani faktor menyebabkan inflasi dan dari segi kepenggunaan sebab itu kami bawa NGO dan pakar dalam majlis ini.
“Semalam (kelmarin) saya membentangkan perkara ini (penubuhan majlis) dalam mesyuarat Kabinet, tetapi saya tidak memaklumkan mengenai terma rujukannya lagi.
“Jadi, semua terma rujukan ini akan saya bawakan pada minggu pertama Januari tahun depan sebelum mengumumkan tarikh mesyuarat pertama majlis ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPNDKK di sini, semalam.
Pada majlis berkenaan, Hamzah menyampaikan anugerah kepada empat pegawainya sempena sambutan Hari Integriti Peringkat kementerian.
Hamzah berkata, majlis dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, manakala beliau dilantik sebagai Setiausaha.
Katanya, kedudukan Jawatankuasa Kabinet Menangani Kos Sara Hidup ketika ini diumumkan kemudian.
Sabtu lalu, Hamzah mengumumkan kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat berhadapan kos sara hidup tinggi.
Beliau dipetik sebagai berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO memberi kelulusan penubuhan majlis itu yang dicadangkan wakil Pemuda UMNO Jamawi Jaafar pada Perhimpunan Agung Umno 2017.