Pertumbuhan ekonomi diunjur meningkat
Kuala Lumpur: Bank Dunia menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia keseluruhan tahun ini kepada 5.8 peratus daripada 5.2 peratus sebelumnya.
Unjuran terbaru itu adalah yang tertinggi sejak 2014, demikian mengikut Bank Dunia dalam Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia.
Turut disemak semula adalah jangkaan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun hadapan kepada 5.2 peratus daripada 5.0 peratus sebelumnya.
Ini adalah kali kedua unjuran ekonomi Malaysia disemak semula pada tahun ini, kali pertama adalah pada Oktober lalu.
Bank Dunia berkata, unjuran menaik itu dibuat berdasarkan pertumbuhan pesat yang didorong pengukuhan permintaan domestik, keadaan pasaran buruh lebih baik, pertumbuhan gaji serta penambahan permintaan luar bagi barangan pembuatan dan eksport komoditi.
Laporan bertajuk
itu mendapati perbelanjaan modal turut meningkat berikutan peningkatan pelaburan sektor awam dan swasta.
Pengarah Bank Dunia bagi Malaysia Ulrich Zachau berkata, pertumbuhan ekonomi negara dalam tempoh 20 tahun lalu adalah mantap susulan pelaksanaan dasar kukuh ketika dan sejak Krisis Kewangan Asia 1997.
“Pengurusan makroekonomi baik secara berterusan dan langkah pembaharuan ke arah meningkatkan kemahiran rakyat, daya saing serta peluang sama rata akan menjamin keuntungan, terutama bagi golongan berpendapatan rendah menerusi peluang pekerjaan lebih baik,” katanya.
Menurut laporan itu, pertumbuhan Malaysia yang lebih kukuh membuka peluang untuk pembaharuan struktur lebih mendalam, sekali gus membawa ke arah pertumbuhan lebih tinggi.