Rommi saran PSM bertindak lebih agresif
Kuala Lumpur: Bekas pemain negara, Rommi Suhendra Norsal menyarankan agar barisan kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersikap lebih agresif meningkatkan mutu sukan berkenaan susulan pengguguran sebagai sukan teras.
Jelasnya, badan induk sepak takraw negara perlu melihatnya sebagai satu cabaran untuk kembali meningkatkan mutu dan prestasi.
“Saya bersetuju dengan tindakan yang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN). Lebih baik PSM menerimanya secara terbuka.
“Mereka perlu melihatnya sebagai satu cabaran dengan melakukan perancangan untuk skuad negara dan negeri. PSM perlu lebih agresif dan kemungkinan mereka akan kembali disenaraikan sebagai sukan teras pada masa depan,” jelas bekas tekong negara itu.
Tambahnya, lebih banyak kejohanan perlu dianjurkan termasuk pada peringkat remaja bagi mencungkil bakat baru.
MSN menerusi penjelasan terperinci selepas pengumuman pengguguran sepak takraw oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Rabu lalu, menyifatkan sepak takraw tidak menunjukkan peningkatan prestasi sejak berada dalam sukan teras pada 2007.
Malah, prestasi skuad kebangsaan di Sukan SEA dilabel merosot apabila tidak memenangi emas sekiranya Thailand mengambil bahagian.
Di Sukan Asia, Malaysia berada di belakang Korea Selatan yang mendapat suntikan jurulatih tempatan dalam membangunkan sukan itu.
Bagaimanapun, Rommi menaruh harapan MSN dapat mempertimbangkan sepak takraw untuk kembali dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.
“Saya bersetuju jika keputusan tidak mempertandingkan di Sukma 2018 dilakukan lebih awal. Namun kini sudah ada pasukan yang melakukan persiapan dan mengadakan latihan bagi menghadapi temasya sukan itu,” jelasnya.