Suriya kongsi menu warisan
Sejak berusia lapan tahun, Suriya Abdullah berjinak-jinak membantu ibu memasak di dapur. Lama-kelamaan terbiasa dengan kelengkapan memasak menyebabkan dia tidak kekok menggunakan peralatan dapur berteknologi tinggi yang memudahkan tugas menyediakan hidangan.
Sebagai wanita yang arif dalam penyediaan makanana ditambah pengalaman luas dalam bidang masakan terutama pemakanan sihat mendorong Suriya menulis buku resipi The Malay Kitchen, Recipes for Thermomix bertujuan meneruskan tradisi keluarga sekali gus berkongsi warisan masakan Melayu kepada generasi seterusnya.
Jelas Suriya, buku masakan itu mengandungi 60 resipi terdiri daripada masakan kegemaran keluarganya dan menu pada zaman kanak-kanak yang menggamit nostalgia lama.
Ketika menulis dan memajukan resipi itu, setiap satu diuji berulang kali bagi memudahkan langkah memasak, mengurangkan penggunaan minyak, garam serta gula demi mendapatkan rasa masakan melalui kawalan suhu dan kelajuan tepat Thermomix.
“Ini sebagai menyokong usaha Kementerian Kesihatan dalam mempromosi gaya kehidupan sihat. Thermomix mengambil peranan proaktif untuk mendidik dan menggalakkan cara memasak yang baik dalam kalangan orang awam bagi mencegah pelbagai penyakit seperti obesiti dan kencing manis. Memasak menggunakan Thermomix, adalah salah satu cara penyediaan pemakanan yang lebih sihat dan sedap,” katanya.
Dia yang menjadikan Thermomix sebagai teman setia di dapur menjelaskan penggunaan periuk itu menjadikan tugas memasak lebih mudah dan cepat. Lebih penting ia dapat mengekalkan tradisi tersendiri.
Melalui penggabungan semua 12 fungsi alat dapur ke dalam satu, Thermomix merevolusikan pengalaman masakan Melayu yang agak rumit menjadi lebih mudah. Hidangan tradisional boleh dinikmati secara berkhasiat dan semula jadi tanpa berkompromi dari segi keasliannya.
“Thermomix dalah teman dapur yang ideal untuk setiap orang. Sejak saya menemui teknologi dapur ini, tugas memasak hidangan tradisional dari zaman kanak-kanak menjadi lebih sempurna dan tidak membosankan,” kata Suriya.
The Malay Kitchen, Recipes for Thermomix, menampilkan resipi masakan Melayu asli yang semestinya digemari ramai. Edisi dwibahasa pertama yang mengandungi kedua-dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris menyediakan langkah mudah memasak hidangan Melayu seperti rendang ayam nogori, nasi kampung, ayam pedas, kacang botol goreng bercili, acar, agaragar gula Melaka, udang goreng kunyit dan kuihmuih Melayu tradisional.
Menurut Pengarah Eksekutif Thermomix Malaysia JH Lim buku ini menyediakan perancangan menu, panduan dan petua berguna yang akan membantu wanita menjimatkan masa memasak di dapur.
Selain itu, terdapat juga gambar rempah-ratus, herba dan bahan yang biasa digunakan untuk memudahkan pengguna meniru kehalusan hidangan Melayu.
“Masakan Melayu sememangnya terkenal dengan rasanya yang mesra selera. Inilah tujuan kami mengeluarkan buku masakan yang dihiasi pelbagai resipi menarik dan beraneka perisa, bercirikan pengaruh Melayu tersendiri untuk dinikmati orang ramai,” katanya.
Buku masakan itu juga diterbitkan sebagai alternatif pilihan makanan sihat termasuk manisan dan pastri, terutama untuk pesakit diabetes. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan
2015 menunjukkan hampir satu daripada lima orang dewasa mengalami diabetes, disebabkan tabiat pemakanan tidak sihat.
Pelancaran buku di pejabat Thermomix Malaysia Sunway Damansara turut disertakan demonstrasi memasak lima hidangan klasik Melayu. Demonstrasi ini juga bertujuan mempamerkan mudahnya memasak di rumah untuk dikongsi bersama keluarga dan rakan.
The Malay
Kitchen, Recipes for Thermomix tampil resipi
masakan Melayu asli