Harian Metro

Suspek bunuh remaja reka cerita

-

Polis mengesahka­n cerita remaja ditemui tidak sedarkan diri di hentian bas di Ayer Keroh pada 6 Disember lalu dihantar orang awam ke Hospital Melaka untuk diberi rawatan adalah rekaan suspek untuk menutup perbuatan mereka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, berdasarka­n siasatan awal ke atas ketiga-tiga lelaki terbabit, pihaknya mendapati suspek sengaja mereka cerita berkenaan.

Beliau berkata, kematian remaja terbabit M Arunasalam, 16, yang mendapat perhatian netizen selepas video dia dipukul suspek tular, kini dianggap selesai namun pihaknya memperinci­kan beberapa perkara sebelum mengambil tindakan seterusnya.

“Video yang tular itu benar, tetapi orang awam kononnya menghantar mangsa mendapatka­n rawatan di Hospital Melaka sebelum disahkan meninggal dunia adalah suspek itu sendiri. Tidak ada orang awam menemui mangsa dalam kes ini.

“Saya juga sahkan ketiga-tiga suspek terbabit ialah individu yang memukul mangsa dalam video yang tular itu. Kes sudah selesai jadi tiada tangkapan susulan lain selepas ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyaksika­n demonstras­i rusuhan persediaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Pusat Dagangan Antarabang­sa Melaka (MITC) Ayer Keroh, semalam.

Menurut Afzanizar, motif kejadian sama dengan perkara disebut dalam video terbabit iaitu mangsa mencuri wang namun beliau enggan mengulas lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia