Pemain perlu bijak serap tekanan: Talib
Kuala Lumpur: Kejayaan memenangi acara regu dan quadrant (berempat) harus memberikan motivasi terbaik kepada anak buah jurulatih, Abdul Talib Ahmad untuk mengharungi cabaran berpasukan Piala Raja Thailand.
Apatah lagi, mereka akan bersaing dengan Thailand yang akan turun dengan misi mempertahankan kejuaraan sekali gus menghadirkan peluang terbaik kepada pemain membuktikan sesuatu sekiranya berjaya menjinakkan musuh tradisi itu.
Malah mereka bermula cemerlang dengan mudah menewaskan Laos 3-0 dalam aksi pertama Kumpulan D, kelmarin dan akan turun dalam aksi terakhir menentang China pada sebelah pagi hari ini bagi menentukan tiket ke suku akhir yang berlangsung sebelah petang.
“Apa yang saya harapkan pemain tampil dengan aksi terbaik dan menghiburkan. Selain itu mereka perlu bijak menyerap tekanan,” kata Abdul Talib ketika ditanya sama ada acara berpasukan adalah kesempatan terbaik membuktikan sesuatu kerana ia turut disertai Thailand.
Bagaimanapun, Abdul Talib mengakui perancangan taktikal terjejas apabila Mohd Hanapiah Dolah mengalami kecederaan lutut dan demam sekali gus meninggalkan hanya tiga perejam bagi saingan tiga regu itu.
“Kita tidak mempunyai perejam simpanan dan saya tidak mahu senaraikan Hanapiah kerana bimbang kecederaan lebih teruk. Jadual begitu padat dengan pemain amat letih ketika menentang Laos semalam (kelmarin),” tambahnya.
Malaysia muncul naib juara acara berpasukan pada edisi tahun lalu apabila skuad negara menarik diri selepas berakhirnya regu pertama susulan terdapat dakwaan keputusan berat sebelah pengadil dari Vietnam ketika final menentang tuan rumah, Thailand.