Harian Metro

Malaysia waspada ancaman Filipina

- Fadhli Ishak fadhli.ishak@nst.com.my

Kuala Lumpur: Skuad remaja negara bakal tampil dengan pendekatan berhati-hati apabila turun menentang Filipina pada aksi penentuan tempat ketiga dalam saingan Divisyen 1 Kejohanan Ragbi Bawah 19 tahun (B-19) Asia di Manila, hari ini.

Malaysia kehilangan tiga tonggak utama pasukan menjelang pertemuan dengan Filipina itu - pemain sayap kanan, Hafizuddin Amin Mohd dan flanker, Arif Asyraf Shamsuddin serta Zikrie Amin Zulkiflie - selepas masing-masing mengalami kecederaan ketika tewas 14-34 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi separuh akhir, kelmarin.

Pengurus skuad negara, Azlan Ishak sedar dengan ancaman yang mampu diberikan Filipina biarpun pasukan berkenaan tewas 6-27 kepada Korea Selatan.

“Kami sudah melakukan analisis permainan mereka menerusi rakaman video perlawanan mereka ketika menentang Korea dan sudah tahu apa yang kami boleh jangkakan.

“Forward Filipina bermain dengan baik termasukla­h ‘hooker’ dan ‘number eight’ mereka yang dilihat antara terbaik dalam kejohanan ini.

“Ia akan memberi sedikit kesukaran kepada kami selepas kehilangan tiga tonggak utama tetapi kami sudah mengenal pasti apa yang kami perlu lakukan.

“Fokus kami adalah untuk bermain dengan corak permainan pantas dan memperbaik­i semua kelemahan kami ketika perlawanan pertama menentang UAE,” kata Azlan.

Malaysia perlu menang aksi bertemu Filipina andai tidak mahu tersingkir ke Divisyen 2.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia