Harian Metro

ANGKAT DARJAT PEMANGKU

- Nor Hairulniza­m Wahid hairulniza­m@hmetro.com.my

 Penolong jurulatih perlu ada falsafah jelas

untuk pastikan objektif pasukan tercapai

Dalam perkembang­an bola sepak moden, bukan sesuatu yang aneh apabila seseorang jurulatih atau pengurus dipecat selepas gagal mencapai matlamat yang ditetapkan pasukan.

Apatah lagi dengan orientasi pasukan yang semakin mencabar dan sentiasa mahukan keputusan (kejayaan) segera, maka tidak mustahil ada yang menjadi ‘korban’ meskipun kempen masih belum berakhir.

Beberapa individu seperti David Unsworth (Everton), Craig Shakespear­e (Leicester City), Guus Hiddink dan Roberto Di Matteo (Chelsea) pernah diberi tanggungja­wab sebagai pemangku pengurus atau jurulatih sementara untuk ‘menyelamat­kan’ pasukan, malah tidak terkecuali pasukan negara seperti England (Gareth Southgate) dan Malaysia (Datuk Ong Kim Swee).

Sama ada mereka mampu meyakinkan pihak lembaga pengarah dan dinaikkan pangkat sebagai pengurus secara tetap, ia satu persoalan lain, namun apa yang penting adalah sejauh manakah seseorang pemangku pengurus itu mampu memastikan objektif pasukan tidak terjejas sementara menantikan kehadiran seorang pengurus tetap.

Perkara ini turut mendapat perhatian Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa yang menyifatka­n peranan seorang pemangku jurulatih tidak kurang pentingnya seperti jurulatih yang berperanan membawa pasukan ke tahap lebih baik.

Jelasnya, seseorang pemangku jurulatih itu perlu meletakkan falsafah, objektif dan hala tuju yang perlu dicapai mengikut tempoh kontrak yang diperuntuk­kan kepadanya.

“Seseorang pemangku jurulatih itu perlu merangka falsafah, tahu objektif dan hala tuju yang perlu dicapai,” kata Sadek.

“Sebagai contoh jika seseorang itu diberi tempoh sehingga dua tahun, dia perlu merangka dan membuat penilaian mengikut empat sukuan, iaitu enam bulan pertama, kedua dan berikutnya. Dengan kata lain mereka kini lebih banyak terbabit dalam aspek perancanga­n dan perlu mempunyai strategi khusus untuk pasukan.”

Apa yang perlu diberi perhatian menurut beliau adalah fokus bagi pasukan bertaraf kelab dan negara adalah berbeza-beza. Jika matlamat dan perancanga­n peringkat kelab lebih bersifat jangka pendek, kepentinga­n negara adalah sebaliknya kerana seseorang pasukan itu beraksi mewakili dan membawa maruah negara.

“Dalam hal ini, falsafah perlu jelas kerana kaedah yang diguna pakai di peringkat kelab jauh berbeza berbanding negara. Sama ada anda ingin bermain untuk Piala Dunia, Piala Asia, AFC atau Olimpik, semua itu mempunyai rangkaian antara satu sama lain,” katanya.

“Strategi dan urus tadbir dalam pasukan perlu jelas walaupun bertukar pemimpin kerana yang penting adalah mencapai matlamat pasukan.

“Tanpa objektif yang jelas, ia pasti akan mengganggu perancanga­n dan matlamat untuk bergerak ke hadapan. Jika kehadirann­ya sekadar menampung kekosongan ia jelas satu tindakan yang tidak bijak dalam pengurusan sukan zaman moden.

“Objektif dan penanda aras perlu jelas, barulah jurulatih dapat membawa pasukan ke tahap seterusnya.”

Seseorang jurulatih itu menurut beliau perlu melihat kriteria yang menjadi keutamaan buat pasukan, baik dari segi formasi pasukan, pemain yang sesuai untuk mengisi posisi tertentu dan sebagainya.

“Dalam hal ini pemangku jurulatih perlu jelas, jika tidak sukar pemprofila­n pemain (profiling) untuk dibentuk dan disesuaika­n dengan pasukan. Jika tidak, mereka tidak akan tahu apa falsafah yang ingin diterapkan dan matlamat yang ingin dicapai berdasarka­n tempoh kontrak,” katanya.

Menurutnya, pemprofila­n pemain yang diambil perlu dibuat berdasarka­n falsafah yang yang ditetapkan. Paling penting dalam pemprofila­n pemain ini adalah kecergasan, kepantasan dan kerjasama pasukan dan apabila dipanggil mewakili negara contohnya, mereka melepasi ujian kecergasan.

“Kita tidak mahu apabila dipanggil, seminggu dua selepas itu mengalami kecederaan dan apabila pergi menyertai pertanding­an, mereka membawa sekali kecederaan itu dan ia satu konsep yang salah. Jika tidak cergas atau cedera, mereka perlu diganti dengan pemain lain,” kata Sadek.

Selain itu menurutnya gaya permainan yang diterapkan pemangku jurulatih itu perlu jelas, tidak berubah-ubah dan menunjukka­n identiti sesebuah pasukan berdasarka­n pemprofila­n pemain supaya tidak bercelaru.

Pada masa sama jelas Sadek, pemain perlu membuang sikap mementingk­an diri sendiri, keras kepala, sombong dan angkuh dengan senioriti dan gaji tinggi yang dimiliki sebaliknya bergerak seiring dengan perancanga­n pemangku jurulatih untuk memenuhi matlamat yang ingin dicapai bersama pasukan.

Justeru, seseorang pemangku jurulatih itu perlu mempunyai sikap tegas khususnya berhubung falsafah pasukan bagi mengelak pemain ‘besar kepala’ atau menganggap diri lebih berkuasa berbanding jurulatih sekali gus sukar mencapai objektif pasukan.

“Untuk memastikan semua ini dapat dilaksanak­an, seseorang pemangku pengurus itu perlu jelas dengan tugas yang dipertangg­ungjawabka­n kepadanya supaya falsafah pasukan dapat diterapkan dan jika berdepan masalah, sedia berbincang dengan pihak atasan untuk melakukan penambahba­ikan. Jika tidak diselesaik­an sejak awal, tentu sekali ia akan membawa masalah kepada pasukan,” kata beliau.

Bagi memastikan keberkesan­an seseorang pemangku jurulatih, kehadiran penasihat teknikal amat penting dan jelas Sadek, penasihat teknikal bukan individu yang memberi kata putus tetapi memberi nasihat.

Penasihat teknikal juga tidak boleh menjadi ‘suara’ kepada jurulatih kerana bimbang ia akan mencetuska­n konflik kepentinga­n dan kredibilit­i. Apa yang penting mereka perlu faham mengenai bola sepak, sains sukan dan pengurusan sukan justeru tugas ini menurut beliau tidak boleh diberikan kepada sembaranga­n individu.

“Penasihat teknikal amat penting kerana ada ketikanya sesetengah perkara terlepas daripada pandangan jurulatih. Mereka mesti bersifat sensitif, teknikal dan profesiona­l.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia