CEMAS ENJIN BERASAP
Orang ramai bertungkus-lumus bantu keluar
mangsa kemalangan tiga kenderaan
Orang ramai melalui Jalan Hutan Simpan Sungai Udang, Masjid Tanah bertungkus-lumus membantu mengeluarkan pemandu wanita terperangkap di tempat duduk Proton Wira dipandunya yang terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan, semalam.
Kemalangan pada jam 8 pagi itu membabitkan dua Proton Wira masing-masing warna kelabu dan putih serta sebuah motosikal menyebabkan dua pemandu, seorang penunggang selain tujuh penumpang cedera.
Menerusi video kemalangan berdurasi 28 saat yang tular di media sosial, penunggang motosikal dilihat berusaha mengeluarkan pemandu wanita terbabit dengan menendang pintu pada bahagian pemandu.
Manakala pengguna lain dilihat menenangkan pemandu wanita terbabit namun mencemaskan berikutan bahagian enjin kereta itu kelihatan mengeluarkan asap.
Difahamkan wanita itu dikeluarkan bomba dengan bantuan orang awam sebelum dia dan semua mangsa dikejarkan ke Hospital Melaka untuk diberi rawatan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, akibat kemalangan pemandu Proton Wira warna putih iaitu lelaki yang belum dipastikan identitinya cedera di muka.
Beliau berkata, pemandu sebuah lagi kenderaan model sama iaitu wanita berusia 33 tahun pula cedera di kaki dipercayai akibat tersepit.
“Kemalangan dipercayai berlaku selepas Proton Wira dipandu lelaki dari arah Sungai Udang menghala ke Majid Tanah hilang kawalan lalu memasuki laluan bersebelahan sebelum bertembung dengan kereta dipandu wanita datang dari arah bertentangan.
“Motosikal dari arah Masjid Tanah tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang Proton Wira dipandu wanita itu. Setakat ini semua mangsa dilaporkan stabil,” katanya.
Asmadi berkata, kemalangan berlaku di kawasan garisan berkembar dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.