Hadiah beli peralatan seni khat
Kuala Lumpur: “Wang kemenangan RM1,000 ini akan saya simpan dan sebahagiannya digunakan untuk membeli peralatan seni khat bagi keperluan akan datang,” kata Ahmad Danish Amzar Ahmad Firdaus, 12.
Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Indah Ampang itu menjadi Johan Pertandingan Manifestasi Perdana Seni Khat (MPSK) 2017 Kategori Kanak-kanak di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), semalam.
Menurutnya, dia tidak menyangka memenangi hadiah itu ketika menyertai pertandingan berkenaan yang diadakan di MKIM pada 25 November lalu.
“Kemenangan ini menjadikan cuti sekolah saya tahun ini paling bermakna kerana masa terisi dengan aktiviti yang berfaedah dan dapat membantu keluarga,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah MPSK 2017 semalam.
Hadir sama, Pengurus Jabatan Pendidikan MKIM Rozela Mohamad Dahlan dan Yang Dipertua Persatuan Seni Khat Kebangsaan Mohammed Yusof Abu Bakar.
Mengulas lanjut Rozela berkata, seramai 105 peserta mengambil bahagian pada pertandingan kali ke enam itu yang diadakan 25 November lalu yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM16,400.
“Pertandingan kategori Seni Khat Tradisional Di Atas Kertas (Spontan) kali terbahagi kepada tiga peringkat iaitu Dewasa untuk peserta berusia 18 tahun ke tas yang menpertandingkan jenis seni khat Nasakh, Riq’ah, Thuluth dan Diwani,” katanya.