KERETA TINGGAL RANGKA
Terlalu mengikut nasihat atau saranan rakan boleh membawa kepada buruk malah menyebabkan kerugian jika tidak mengkaji terlebih dahulu sesuatu perkara itu.
Situasi itu terjadi kepada pengurus tapak projek dikenali sebagai Aswat,29, apabila kerugian lebih RM30,000 selepas kereta Proton Waja miliknya hanya tinggal rangka selepas dihantar ke sebuah bengkel di Jalan Klang Lama untuk dibaiki pertengahan Mei lalu.
Aswat berkata, niat asalnya hanya mahu melakukan pembaikan terhadap enjin berikutan menghadapi masalah sebelum mendapatkan nasihat daripada rakan berkaitan bengkel terbaik di sekitar Lembah Klang.
“Seorang rakan di tempat kerja mencadangkan sebuah bengkel di Jalan Klang Lama kononnya membuat kerja dengan teliti dan cepat selain hasil kerja cukup memuaskan.
“Ketika itu pula saya memang terdesak mahu membaiki kenderaan itu kerana sukar untuk berulangalik ke tempat kerja jika kereta bermasalah,”katanya, di sini.
Menurutnya, dia menghantar kenderaan ke bengkel berkenaan dan pemiliknya berjanji akan siap dua minggu kerana perlu melakukan pembaikan pada keseluruhan enjin.
“Saya bersetuju dengan cadangan pemilik bengkel dan tiada masalah untuk berulang ke tempat kerja kerana mempunyai motosikal selain isteri pula mempunyai kereta sendiri.
“Namun, selepas tempoh dua minggu, kereta saya belum siap dibaiki lagi dan pemilik bengkel meminta tempoh selepas Aidilfitri,” katanya.
Walaupun permintaan itu agak keberatan untuk Aswat bersetuju namun dia terpaksa ‘merelakan’ juga kerana mahu keretanya disiapkan dalam keadaan sempurna tanpa sebarang cacat cela.
“Tiba pada hari dinantikan, kereta saya ‘lesap’ daripada bengkel terbabit dan pemeriksaan lanjut mendapati hanya tinggal rangka dengan beberapa komponen lain sudah dicabut pada kedudukan asal.
“Saya hampir bergaduh dengan pemilik bengkel berkenaan yang hanya buat tidak tahu saja apabila diajukan mengenai keadaan kereta malah menghalau saya dari premis berkenaan,” katanya.
Berikutan kejadian itu, Aswat membuat laporan di Balai Polis Brickfields untuk tindakan lanjut selain turut mengadu kepada Tribunal
Tuntutan Pengguna bagi mendapatkan kembali pampasan.