Ditipu pelaburan jongkong emas
Kuala Lumpur: Dijanjikan bakal menerima pulangan lumayan menerusi pelaburan jongkong emas, seorang wanita ‘gelap mata’ apabila melaburkan keseluruhan wang simpanan berjumlah RM150,000 tanpa memeriksa atau menyelidik dahulu kebenaran skim itu.
Akibatnya, wanita dikenali sebagai Azlina seorang kakitangan kerajaan hilang wang simpanan apabila ditipu ejen skim itu malah lebih buruk lagi keuntungan dijanjikan juga turut lesap.
Menceritakan detik malang itu, ibu kepada dua anak berusia
40 tahun menerima panggilan daripada individu tidak dikenali sebelum mempromosikan pelaburan jongkong dengan pulangan enam peratus setiap bulan.
Bagaikan terpukau dengan janji manis ditawarkan ejen terbabit iaitu lelaki dikenali sebagai Izwan, tanpa berfikir panjang dia bersetuju untuk membuat pelaburan pada awal tahun ini.
“Saya termakan janji palsu lelaki terbabit kononnya bakal menerima keuntungan setiap bulan dalam jumlah banyak selain skim berkenaan hanya dipromosikn kepada individu tertentu sahaja.
“Berikutan itu, saya melakukan dua kali transaksi pembayaran masingmasing berjumlah RM75,000 di sebuah restoran di Jalan Ampang pada Januari dan Mac lalu,”katanya, di sini.
Azlina berkata, dia tidak memberitahu kepada suami dan ahli keluarga lain berkaitan skim pelaburan jongkong emas disertainya kerana dibimbangi akan dimarahi atau dilarang oleh mereka.
“Ejen terbabit turut membawa saya ke pejabatnya di Cheras, bagi menyakinkan skim itu benar selain menunjukkan surat pendaftaran syarikat,”katanya.
Menurutnya, dua bulan pertama dia memperoleh keuntungan seperti dijanjikan berjumlah RM15, 000 yang dimasukkan menerusi akaun bank miliknya.
“Keinginan saya untuk membeli kereta dan rumah menerusi wang pelaburan itu terbantut apabila sebaik sahaja memasuki bulan ketiga, tiada lagi bayaran seperti dijanjikan.
“Situasi berkenaan berlanjutan sehingga
Ogos lalu menyebabkan saya menghubungi ejen terbabit bagi mendapatkan penjelasan berkaitan kelewatan pembayaran,”katanya.
Katanya, ejen berkenaan ada memberitahu kelewatan berikutan menghadapi beberapa masalah dalaman syarikat namun selepas itu dia gagal dihubungi.
Bagaikan gelap dunia apabila mengetahui dia menjadi mangsa penipuan syarikat pelaburan itu dan lebih malang lagi wang simpanan yang disimpan sejak mula bekerja lesap begitu sahaja.