Ulang babak jatuh 30 kali
Aktor terkenal Jepun,
Satoh melakonkan karakter keturunan Ajin, makhluk abadi dalam filem barunya berjudul Ajin: Demi Human.
Bintang itu bagaimanapun mendedahkan dia bimbang keselamatan dirinya sepanjang penggambaran berlangsung.
Bukannya tidak pernah menjayakan karya aksi, namun dalam naskhah ini ia berbeza. Apatah lagi ada beberapa babak terjatuh yang harus dilakukannya berulang kali.
Melalui pengalaman itu, baru Satoh faham bahaya yang menanti apabila melakonkan sendiri lagak ngeri. Malah, dia mengalami kecederaan ketika penggambaran.
“Ada satu babak saya jatuh dari tempat tinggi. Bayangkan saya diminta mengulangi babak itu sebanyak 30 kali. Ia mengakibatkan leher saya menyusut dua sentimeter.
“Ketika melakukannya, saya sudah terbayang nyawa mungkin melayang. Ini adalah karya fantasiaksi yang berat untuk saya.
“Disebabkan karakter itu hidup abadi, banyak babak perlu saya lakukan bagi menunjukkan keabadiannya,” kata Satoh.
Ditanya sama ada dia menyesal membintangi filem itu, Satoh menegaskan dia gembira dan berpuas hati apabila diketengahkan sebagai bintang utama.
Katanya, tidak mudah sesebuah produksi memberikan kepercayaan kepada pelakon andai mereka tidak mempunyai kemahiran seni pertahan diri.
“Saya belajar teknik pertarungan di lokasi penggambaran. Saya pernah terbabit dalam beberapa filem aksi dan melakukan sendiri babak aksi ngeri mengikut kemampuan saya. Ia mungkin satu sebab mengapa saya dipilih membintangi filem ini,” katanya.
Satoh memegang watak Kei Nagai yang menjalani latihan praktikal di sebuah hospital. Apabila menyedari dia boleh hidup abadi, pihak berkuasa menahannya dan melakukan uji kaji.
Bagaimanapun, Kei Nagai bernasib baik kerana diselamatkan rakannya, Satoh yang juga keturunan Ajin. Satoh seorang yang kejam manakala Kei lebih berfikiran rasional dalam setiap tindakannya.
Dalam filem itu, Ajin mampu menjelmakan makhluk lain daripada badan mereka. Menariknya, makhluk itu boleh berfikir sendiri tanpa dipengaruhi tuan mereka.
“Ketika kami berlakon, tidak ada apa-apa benda di hadapan saya. Saya terpaksa menggunakan
100 peratus daya imaginasi sehingga pada satu tahap tertentu, saya tidak tahu apa yang terjadi dan hilang fokus.
“Lakonan kali ini bukan hanya memerlukan saya berimaginasi tetapi juga menggunakan banyak tenaga jasmani. Pendek kata, saya harus menjaga stamina sepanjang penggambaran.
“Selalunya selepas selesai penggambaran, pelakon dan kru akan meluangkan masa menjamu selera di restoran yang menyediakan juadah enak. Tetapi, kali ini semua orang hanya makan salad dan telur rebus,” kata Satoh.
Pada awal pembabitannya dalam dunia lakonan, Satoh membintangi beberapa filem adaptasi manga popular di Jepun termasuk trilogi Rurouni Kenshin pada 2012 dan 2014 serta Bakuman (2015).
Cabaran terbesar Satoh adalah menghiburkan pembaca setia manga menerusi filem lakonannya. Satoh mahu pengikut manga terbabit teruja menyaksikan karya itu di layar lebar.
“Setiap kali beraksi dalam filem adaptasi manga, saya tanam dalam fikiran mahu penonton berasa teruja dan terhibur seperti mana mereka membaca naskhah kegemaran mereka,” katanya.
Satoh berkata, aksi yang dipaparkan dalam Ajin: Demi-Human berbeza daripada filem lakonannya sebelum ini. Malah, dia bersyukur kerana pelakon lagak ngeri filem ini adalah kumpulan sama yang beraksi dalam naskhah Rurouni Kenshin.