Ibu inspirasi, mentor Nuurun
Teruskan legasi uruskan jemaah, pelancong lepas dimulakan arwah bapa
Pembabitan Nuurunnazifah Abdullah, 25, dalam bidang pelancongan bagi meneruskan legasi orang tuanya yang hampir tiga dekad terbabit dalam perniagaan berkenaan.
Bermula dengan arwah bapa, Abdullah Hussin membawa orang kampung dan rakan handai dari Melaka untuk menunaikan umrah pada 1990, tugas menguruskan jemaah itu kemudian beralih kepada ibu, Latifah Abu Hassan selepas allahyarham meninggal pada 1999.
Perniagaan itu berkembang apabila ibunya menubuhkan De Mawardah pada 2003 dan kini syarikat pelancongan terbabit diuruskan bersama abangnya, Muhammad Akram.
Menurut Nuruun, ibunya dilihat sebagai mentor terbaik dan sentiasa menjadi rujukan bukan saja buat dirinya malah bagi enam beradik lain yang turut memiliki perniagaan masing-masing.
“Selepas bapa saya meninggal, ibu yang mengambil alih kerja ayah termasuk membawa kumpulan umrah. Beliau memberi banyak tunjuk ajar dalam urusan perniagaan pelancongan.
“Karakter sebagai seorang wanita kuat dan cekal, beliau banyak memberi inspirasi kepada saya. Malah ibu sentiasa memberi tunjuk ajar kepada kami lapan beradik dalam menguruskan perniagaan dengan baik,” katanya.
Kata Nuurun, sejak sekolah lagi dia terdedah kepada bidang pelancongan apabila sering mengikuti rombongan dikendalikan ibu atau abangnya.
“Apabila tamat persekolahan, saya meneruskan pembelajaran bidang Pelancong di Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur. Sebaik tamat belajar, saya dan abang membantu ibu mentadbir syarikat Pelancongan De Mawardah Travel & Tours Sdn Bhd .
“Selain saya lima saudara lain turut memiliki perniagaan sendiri iaitu hotel bajet sekitar Melaka. Saya diberi tanggungjawab memikul tugas sebagai Pengarah De Mawardah Travel & Tours Sdn Bhd dan De Mawardah Inn. Peranan saya lebih kepada mengurus dan memasarkan pakej pelancongan luar negara seperti Balkan, Eropah dan banyak lagi.
“Abang, Muhammad Akram lebih ke arah pengurusan pakej umrah dan haji. Ibu saya bertindak membahagikan skop kerja supaya kami dapat fokus ketika menguruskan bahagian masing-masing dengan lebih teratur,” katanya yang juga berkongsi pengalaman pertamanya menguruskan sendiri rombongan pelancong ketika ke Bandung, Indonesia pada usia 20 tahun.