Karyawan makin utuh
Hasrat pertahan hak ahli terlaksana selepas diiktiraf dalam program Padu Citra
Hasrat Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dalam mempertahankan hak ahlinya terlaksana apabila mereka diiktiraf dalam program Padu Citra yang dilaksanakan FINAS sejak 1 November lalu.
Padu Citra adalah program apabila setiap ahli Karyawan akan disenaraikan dalam Borang Sijil Pengesahan Produksi (SPP).
Presidennya Datuk Freddie Fernandez berkata, program ini akan lebih meyakinkan penggiat seni untuk menyertai Karyawan.
“Sudah lama kami menantikan saat ini iaitu sejak Karyawan ditubuhkan pada 2000.
“Program ini menyuntik lebih keyakinan kami untuk bertindak terhadap sesuatu isu,” katanya.
Menurut Freddie, Karyawan bercadang mengadakan mesyuarat pada Februari tahun depan bagi menyelaraskan isu tertangguh.
“Apabila adanya program SPP dapatlah kami bertindak terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam kalangan produksi.
“Ini juga dapat membantu setiap ahli supaya tidak terabai dengan sikap tidak bertanggungjawab produksi terhadap pekerja,” katanya.
Dalam pada itu,
Freddie turut bercadang mengusulkan kepada semua penerbit supaya dapat memberikan caruman KWSP kepada pekerja di bawah mereka.
“Penggiat seni tidak ada gaji tetap. Saya akan cuba mengusulkan perkara ini kepada semua penerbit dengan harapan mereka dapat menerimanya.
“Bagaimanapun, perkara ini tiada paksaan, terpulang kepada mereka untuk menerimanya atau tidak,” katanya lagi.
Sehingga hari ini lebih 2,000 penggiat seni menyertai Karyawan. Mereka terdiri daripada 940 pelakon, 141 pengarah filem dan bakinya pekerja belakang tabir.