Laksana program bantu kurang kemalangan pekerja
Maran: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merancang memperkenalkan program bagi mengurangkan kadar kemalangan dalam kalangan pekerja ketika pergi dan balik kerja berikutan jumlah kes kemalangan membabitkan pekerja semakin meningkat setiap tahun.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, sehingga Oktober lalu, PERKESO melaksanakan 199 program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja, selain 91 program kesedaran kemalangan perjalanan.
“Bagi memastikan keselamatan pekerja lebih terjamin tahun depan, lebih banyak program seumpama itu akan diadakan.
“Kita mahu semua pekerja di negara ini sentiasa dalam keadaan selamat sama ada ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau balik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan kepada 388 pelajar dari lima sekolah di Parlimen Maran di sini, semalam.
Program itu ditaja Yayasan RISDA dan Yayasan Taqwa.
Ismail berkata, PERKESO dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti Institut Penyelidikan Jalan Raya Malaysia, Persatuan Majikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerja akan meningkatkan lagi siri kempen keselamatan kepada pekerja, tahun depan.
Katanya, pekerja juga disaran membeli polisi insurans kerana jika berlaku kemalangan, mereka akan mendapat bayaran ataupun pampasan setimpal, sekali gus menjamin nasib keluarga mereka.