Harian Metro

GENG RANTAU ‘MAKAN’ PELURU

- Iskandar Shah Mohamed iskandar@hmetro.com.my

 Dua ahli kumpulan pecah rumah serang polis guna parang mati ditembak

Shah Alam

Dua lelaki dipercayai ahli kumpulan pecah rumah dikenali Geng Rantau mati ditembak polis di kawasan semak berdekatan taman perumahan di Seksyen 7 di sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, kedua-dua lelaki berusia 30-an bersama seorang rakan lain cuba memecah masuk kediaman penduduk di sekitar kawasan terbabit.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat awam mengenai cubaan itu pada jam 3.40 pagi.

“Siasatan kemudian membawa kepada penemuan tiga lelaki yang didapati cuba melarikan diri menuju ke lebuh raya berdekatan.

“Mereka bagaimanap­un bertindak agresif dengan menggunaka­n parang dan menyebabka­n polis terpaksa melepaskan tembakan. Dua daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat.

Menurut beliau, pihaknya masih mengenal pasti identiti suspek sama ada warga asing atau sebaliknya termasuk latar belakang mereka.

“Namun, ia lebih menjurus kepada warga asing dipercayai Geng Rantau yang terbabit dalam tujuh kes pecah rumah di sekitar Shah Alam termasuk Seksyen 6 dan 8.

“Kami masih menjalanka­n siasatan menyeluruh termasuk mengesan suspek lain dan lokasi mereka bersembuny­i,” katanya memaklumka­n polis turut menemui satu pisau celoret, parang dan peralatan pecah rumah.

Kata Wan Ahmad Najmuddin, kes diklasifik­asikan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 457 kanun sama iaitu pecah rumah.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek yang melarikan diri supaya menghubung­i balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, penduduk, Datuk Amril Samsudin, 50-an, berkata dia dikejutkan dengan bunyi tembakan sebelum mendapati kawasan berkenaan sudah dipenuhi polis.

“Setakat ini, tiga kes pecah rumah berlaku di kawasan ini dan saya menzahirka­n penghargaa­n kepada polis kerana berjaya melumpuhka­n kegiatan berkenaan,” katanya yang menetap di situ sejak 12 tahun lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia