Harian Metro

Sindiket dadah rekrut remaja punah

-

Shah Alam: Kegiatan satu sindiket pengedaran dadah ke luar negara yang turut merekrut tiga remaja belasan tahun sebagai keldai dadah sejak beberapa bulan lalu, tumpas dengan tertangkap­nya 19 individu, 13 Disember lalu.

Difahamkan, sindiket terbabit aktif menghasilk­an dadah jenis syabu dengan menjadikan hotel penginapan sebagai tempat membungkus dadah.

Selain itu, beberapa rumah transit turut disediakan sebagai persediaan keldai dadah yang rekrut untuk dihantar ke luar negara.

Bagaimanap­un, kegiatan terbabit berjaya dikesan polis yang kemudian bertindak memberkas mereka yang berusia 14 hingga 39 tahun di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dan Lembah Klang kerana terbabit dalam aktiviti pengedaran syabu ke pasaran Taiwan.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata, penahanan awal dilakukan pihaknya di KLIA pada jam 9.40 pagi.

“Anggota polis KLIA mendapati dua lelaki dalam keadaan mencurigak­an ketika mahu mendaftar masuk untuk ke Taiwan.

“Kita kemudian menjalanka­n pemeriksaa­n ke atas mereka dan menemui 16 bungkusan plastik berisi syabu yang dilekatkan di bahagian paha hingga betis mereka. Dadah itu dianggarka­n seberat 4.1 kilogram (kg) dan bernilai RM292,948,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.

Menurut beliau, hasil soal siasat, polis menahan seorang lelaki di sebuah hotel di Damansara dan merampas 1.5 kg syabu.

“Siasatan lanjut, sembilan lagi lelaki dan dua wanita termasuk remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan di sebuah pangsapuri di Cheras.

“Kita turut menahan lima lelaki di Petaling Jaya yang disyaki terbabit dalam kes sama,” katanya memaklumka­n keseluruha­n rampasan berjumlah RM566,008.

Kata Ab Rashid, pihaknya percaya mereka yang ditahan dijadikan keldai dadah untuk membawa dadah ke Taiwan kerana ia dijual dengan harga enam kali ganda lebih tinggi berbanding pasaran Malaysia.

“Tiga suspek bawah umur ditahan di pusat pemulihan akhlak selama dua tahun mengikut Undang-Undang Pencegahan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

“Manakala, suspek lain disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia