Harian Metro

30 peserta tamat Bengkel Insentif, Pembinaan Otot

- Rudy Syareme Sheriffudi­n sukan@hmetro.com.my

Georgetown: Seramai 38 peserta termasuk doktor, pakar serta jurulatih kecergasan diri dan bina badan menyertai Bengkel Insentif dan Teknik Latihan Sebenar Pembinaan Otot 2017 di Hotel City Bayview di sini, baru-baru ini.

Bengkel yang dianjurkan Omaz Strenght and Fitness Coaching Academy diadakan selama dua hari itu dihadiri pelbagai latar belakang peserta termasuk dua wanita dari Sabah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Johor.

Lebih menarik lagi, kehadiran bekas jurulatih bina badan kebangsaan, Abdul Aziz Ahmad tampil berkongsi ilmu dan tips penjagaan diri serta kecergasan disamping kehadiran Naib Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Jasmin Noordin.

Seorang peserta, Dr Nur Farhana Abdul Hadi, 31, (gambar) melahirkan rasa bertuah dapat menyertai bengkel yang diadakan buat pertama kali bersama peserta lelaki bertubuh sasa.

Menurutnya, demi ilmu dia sanggup bersaing demi mencapai kejayaan kerana baginya peluang menyertai kursus dalam asas bina badan yang sebenar merupakan satu peluang keemasan tidak mungkin dilepaskan begitu sahaja.

Dia yang memiliki gimnasium sendiri Zara Gym di Semporna, Sabah berkata untuk menjadi seorang jurulatih kecergasan bertauliah seseorang itu perlu memiliki pelbagai ilmu dan sebagai wanita tidak perlu ada rasa takut bersaing.

“Biarpun peserta lelaki yang hadir memiliki tubuh badan yang sasa berbanding susuk tubuh badan saya yang jauh lebih kecil dari mereka tetapi kerana minat ia tidak menjadi sebarang masalah,” katanya.

Nur Farhana berkata, sebagai seorang doktor perubatan serta jurulatih kecergasan amat memerlukan kemahiran dan pengetahua­n yang lebih teliti dalam teknik kecergasan yang sebenar selain pengambila­n makanan dan diet yang seimbang.

“Ilmu yang diajar boleh dipraktikk­an pelatih terutama golongan wanita yang mementingk­an kecantikan, kemantapan dan keserian serta gaya hidup yang sihat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia